
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tidak semua nelayan dan petani di Terengganu hidup dalam kemiskinan.
Menurut beliau, terdapat nelayan dan petani yang mampu memiliki aset bernilai tinggi dan menjalani kehidupan selesa.
Katanya, golongan nelayan tidak boleh dianggap sebagai miskin, memandangkan ada nelayan yang memiliki bot laut dalam bernilai jutaan ringgit dan memperoleh pendapatan lumayan.
“Tak manis juga kita mudah-mudah buat kesimpulan bahawa nelayan miskin. Letak tepi tokey-tokey bot laut dalam dengan pendapatan ratusan ribu sebulan dan memiliki jumlah aset berjuta ringgit.
“Kawan-kawan nelayan yang turun ke laut dengan bot fiber ramai yang boleh pendapatan beribu sehari. Tentu sekali bukan setiap hari kerana cari rezeki di lautan dalam bukan boleh diduga dengan kail panjang sejengkal.
“Nelayan bot harga juta ringgit tinggal dalam air gitu je. Kita motor Honda Cup siap selimut lagi bawah garaj,” katanya membalas tohmahan segelintir pihak yang mengatakan Terengganu banyak melabuh tukun, tapi nelayan tetap miskin.
Begitu juga dengan petani, menurut Azman, terdapat petani mengusahakan padi dengan hasil sangat menguntungkan, bahkan ada yang memiliki rumah besar, kenderaan mewah dan pelbagai aset lain.
“Petani juga ada yang miskin dan ada yang kaya. Orang berniaga pun ada yang miskin dan kaya,” ujarnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menyeru supaya isu kemiskinan tidak dipolitikkan.
“Kita jangan politikkan isu kemiskinan rakyat ini. Janganlah bercakap dengan nada seolah zaman kerajaan dulu semua nelayan kaya, tukar saja PAS memerintah terus jadi miskin,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2025




















