Khairunnisa’ hulur bantuan kepada 100 mangsa banjir

- Advertisement -

SETIU: Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) meneruskan misi kebajikan tahunannya dengan menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa banjir dari empat DUN di kawasan ini. 

- Advertisement -

Pengerusinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, program itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang terkesan akibat musibah selain memperkukuh hubungan antara pasukan Khairunnisa’ dan komuniti setempat. 

“Matlamat utama ialah sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan pihak kami terhadap rakyat di negeri ini. Di samping mengeratkan ukhuwah dengan mangsa banjir dan kami ingin mereka merasa bahawa mereka tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sumbangan Banjir Khairunnisa’ Terengganu ke Kawasan Setiu di Dewan Sivik, Gong Terap.

Menurut Faizah, program tahunan yang telah memasuki tahun keenam itu memilih Setiu sebagai kawasan tumpuan pada tahun ini dengan bantuan yang disalurkan pada kali ini berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai. 

“Mungkin bantuan yang diberikan tak banyak mana tetapi boleh melahirkan rasa gembira ada orang cakna memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kami berharap sedikit bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan diperlukan mangsa banjir. Semoga ujian yang diterima menatijahkan sesuatu yang lebih baik, seperti munculnya keindahan pelangi setelah berhentinya hujan,” ujarnya. 

Beliau berkata, Khairunnisa’ Terengganu turut memperluaskan misi bantuannya ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan. 

“Insya-Allah, pasukan kami akan ke DUN Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 Januari ini untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sana,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, RELA, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat atas kerjasama erat sepanjang musim banjir. 

“Diharapkan usaha kecil ini bukan sahaja dapat meringankan beban yang ditanggung, malah memberi semangat baharu kepada mangsa banjir untuk bangkit menghadapi cabaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -