Bella Hadid dikaitkan dengan tragedi berdarah Olimpik 1972

Bella Hadid (tengah) diigugurkan oleh Adidas daripada kempen iklan kasut jenama terkenal itu kerana mempunyai darah Palestin. (FOTO: The New Arab)
- Advertisement -

WASHINGTON: Supermodel Palestin-Amerika, Bella Hadid bakal mengambil tindakan undang-undang selepas jenama Adidas menggugurkannya daripada kempen iklan kasut retro sempena Sukan Olimpik Munich 1972, yang menyaksikan 11 atlet Israel maut dalam satu serangan hendap.

Hadid, 27, yang dilahirkan di Amerika Syarikat tetapi mempunyai akar umbi Palestin melalui bapanya, Mohamad Anwar Hadid telah mengkritik keras terhadap genosid Zionis terhadap orang awam Palestin di Semenanjung Gaza sejak  7 Oktober 2023.

- Advertisement -

Sumber yang tidak dinamakan memberitahu TMZ bahawa Hadid sedang berusaha untuk mengambil tindakan undang-undang atas apa yang disebut oleh laman web itu sebagai ‘kekurangan akauntabiliti awam oleh Adidas’.

Laman web itu berkata bahawa Hadid masih terikat kontrak dengan Adidas, dan adik kepada supermodel Gigi Hadid itu kecewa dengan Adidas kerana merujuk Olimpik 1972 tanpa mengiktiraf konteks sejarah terlebih dahulu kenapa tragedi berdarah itu berlaku.

“Kedengarannya seperti Bella Hadid memberitahu mereka yang dekat dengannya bahawa dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dihadapinya ketika menandatangani kontrak dengan Adidas,” lapor TMZ.

Syarikat gergasi pakaian sukan Jerman itu baru-baru ini melancarkan semula SL72, kasut yang pertama kali dipamerkan oleh atlet pada Sukan Olimpik 1972, sebagai sebahagian daripada siri iklan untuk menghidupkan semula trend kasut klasik lama itu, dan merekrut Hadid sebagai model dalam kempen iklan dan publisiti jenama kasut tersebut.

Pelbagai pemimpin dan institusi Yahudi dan pro-Israel sebelum ini dilaporkan sebagai berkata Hadid adalah pilihan yang tidak sesuai untuk mewakili kasut yang dikaitkan dengan tragedi berdarah Olimpik Munich 1972 itu.

Terdahulu, Hadid antara selebriti terkenal Amerika Syarikat yang aktif mengambil bahagian dalam beberapa demonstrasi pro-Palestin di tengah-tengah perang berterusan antara Israel dan Hamas.

Sebelum ini juga, gambar Hadid yang menggayakan kasut Adidas retro telah menimbulkan bantahan dalam kalangan kumpulan pro-Israel dan Yahudi.

Pada Sukan Olimpik Munich 1972, lapan ahli kumpulan  Palestin Black September memecah masuk kediaman pasukan Olimpik Israel, dengan serta-merta membunuh seorang jurulatih dan seorang ahli pasukan angkat berat, dan menjadikan sembilan lagi ahli pasukan Israel sebagai tebusan. 

Semua terbunuh ketika operasi menyelamat yang gagal, begitu juga nyawa seorang pegawai polis Jerman turut melayang.

Pembunuhan beramai-ramai itu diperingati di Sukan Olimpik buat pertama kali dalam kejohanan itu pada 2020, yang diadakan pada 2021. 

Disebabkan kebimbangan keselamatan, peringatan tragedi berdarah Olimpik Munich 1972 itu pada tahun ini di Paris sempena Olimpik 2024 yag bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, dilaporkan akan diadakan di lokasi yang tidak didedahkan.

Seramai 88 atlet negara haram itu akan menyertai Olimpik 2024 tersebut dengan kerajaan Perancis pada hari ini, Isnin (22 Julai) menyatakan mereka akan dikawal ketat 24 jam setiap hari sepanjang berada di Paris untuk kejohanan berkenaan. – Agensi/– HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -