
KOTA BHARU: Kelantan membangunkan Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Berintergrasi dan Fasiliti Karbonisasi di Tanah Merah.
Tapak pelupusan sampah itu dibangunkan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) dengan kerjasama Japan Orchid Inc (J Orchid).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, J Orchid membentangkan kertas cadangan projek berkenaan tahun lepas kepada kerajaan negeri.
“Ia mula dibincang pada mesyuarat bersama KUM dan anak syarikatnya iaitu Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM).
“PSPM bertanggunjawab bagi pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan Beris Lalang, Bachok yang menerima sisa daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Majlis Daerah Bachok dan Majlis Daerah Pasir Puteh,” katanya selepas majlis menandatangani MoU kedua-dua syarikat di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani Dr Izani dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah sebagai wakil kerajaan negeri.
Manakala mewakili Syarikat J Orchid pula diwakili pengarahnya Hayakawa Yoriaki dan pengurus syarikat, Wachi Kazunori.
Majlis bersejarah itu disaksi Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Dr Izani juga berkata, bermula 1 Januari lalu KUM dan PSPM diberi kebenaran Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) untuk mengurus Tapak Pelupusan Kok Bedolah di Tumpat dan Tapak Pelupusan Bukit Che Ros.
Kata beliau terdapat dua tapak pelupusan yang memerlukan perhatian segera daripada KUM iaitu Tapak Pelupusan Pasir Mas dan Machang.
“Memandangkan tapak pelupusan di Bachok, Pasir Mas dan Machang menerima jumlah sisa pepejal hampir sama sekitar 50 hingga 60 tan sebulan, KUM mengambil inisiatif menyatukan ketiga-tiga tapak terbabit,” ujarnya.
Menurut Dr Izani kedua-dua belah pihak komited bekerjasama khususnya KUM bagi mencari kaedah untuk menyatukan pelupusan di Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.
Kata beliau MoU tersebut diharap dapat merancakkan lagi inisiatif melaksanakan Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Berintegrasi dan Fasiliti Karbonisasi Tanah Merah membabitkan tiga tapak pelupusan. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















