
BERLIN, Jerman: Anwar El Ghazi memenangi saman terhadap kelab Bundesliga Jerman, Mainz 05 yang sebelum ini telah menamatkan kontraknya kerana telah menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
Mahkamah Buruh Mainz memutuskan bahawa kenyataan yang dimuatnaik pemain kelahiran Belanda itu dalam Instagram miliknya mengenai Palestin adalah termasuk dalam skop kebebasan bersuara dan pemecatannya adalah ‘tidak sah’.
Sehubungan itu, mahkamah berkenaan memerintahkan El Ghazi, 29, untuk terus dibayar gaji bulanannya sebanyak AS$163,500 (RM766,665) dan dikembalikan semula gajinya yang tidak dibayar sebelum ini, lapor Anadolu Agency.
Mainz pertama kali menggantung dan kemudian memberi amaran kepada El Ghazi pada Oktober 2023 susulan frasa, ‘Sungai ke laut’ yang dimuatnaik olehnya di Instagram.
‘Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas adalah’ slogan Palestin yang merujuk kepada kawasan antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, yang merangkumi Israel, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
El Ghazi yang kini menjadi ejen bebas sejak dibuang secara rasmi oleh Mainz pada 3 November 2023, kononnya atas kesalahan membuat ‘kenyataan dan siaran di media sosial’ yang dikaitkan dengan Palestin itu.
Beliau menjawab penamatan kontraknya oleh Mainz di X, dengan menulis: “Berdiri untuk apa yang betul, walaupun ia bermakna berdiri sendiri.
“Kehilangan mata pencarian saya tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan neraka yang dilepaskan kepada orang yang tidak bersalah dan teraniaya di Gaza,” kata bekas pemain antarabangsa Belanda itu.
Sebelum Mainz, El Ghazi bermain untuk kelab Belanda Ajax dan PSV Eindhoven; Aston Villa, England dan Everton dan Lille di Perancis.
Israel, yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023 oleh kumpulan penentang Palestin, Hamas.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, lebih 38,300 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan hampir 88,300 cedera. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















