Tiga persoalan PADU wajib dijawab Rafizi dengan jujur

Zurk Ahmad (kanan) dan Rafizi Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada tahun lepas bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) menjimatkan kos dan tiada kos tahun dipersoalkan.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata persoalan pertama yang dikemukanya itu timbul susulan baru-baru ini, Rafizi telah mengumumkan bahawa kos PADU bernilai RM85.27 juta bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan 2023 hingga 2025.

- Advertisement -

“Mungkin hanya Rafizi yakin PADU ini akan melonjak kekaguman rakyat kepada kerajaan; namun sebaliknya yang berlaku, sehingga Sarawak juga menahan rakyatnya daripada mendaftar PADU,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zurk, persoalan kedua ialah adakah penyasaran subsidi RON95 yang bakal diumumkan secara mengejut akan menggunakan sepenuhnya data PADU?

“Ini kerana sebelum ini PADU dikatakan akan membantu kerajaan menyasarkan bantuan dengan lebih berkesan.

“Namun, selepas pengumuman kenaikan harga diesel, mengapa individu yang memerlukan masih perlu mendaftar BUDI MADANI untuk mendapat kelayakan menerima bantuan subsidi diesel?

“Jika Rafizi mendakwa data di LHDN, KWSP dan JKM diserap masuk ke dalam PADU, kenapa data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tidak dibuat serupa agar tidak ada rakyat yang terjejas?” soalnya.

Persoalan ketiga yang diutarakan Zurk ialah mengenai dakwaan Rafizi bahawa PADU akan gagal jika jumlah pendaftaran sangat sedikit. 

“Berapa jumlah data yang mencukupi untuk beliau membuat formula baharu supaya PADU bukan suatu projek bazir? 

“Bagaimana Rafizi mahu menggunakan PADU dengan lebih efisyen?” soalnya lagi.

Justeru, Zurk menggesa agar Rafizi menjelaskan dengan jujur mengenai ketiga-tiga persoalannya tersebut.

“Ini kerana rakyat tidak mahu lagi diperbodoh-bodohkan apabila ditanya tentang formula Rafizi dalam mengurus ekonomi negara,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, Rafizi perlu mengambil serius kesan yang sedang dirasai rakyat pada ketika ini dengan kenaikan diesel dan pengurusan subsidi bersasar yang masih caca marba.

“Kerajaan dilihat sangat tidak berhati perut jika penarikan subsidi RON95 dilakukan secara mengejut tanpa mengambil kira nasib rakyat yang akan menerima tempias terbesar.

“Kekeliruan dan kekalutan yang berlaku hari ini membuktikan PADU masih belum cukup padu untuk digunakan kerajaan sebagai medium penyampaian bantuan kepada rakyat,” ujarnya. 

Zurk menegaskan lagi bahawa kerajaan gagal berterus terang kepada rakyat dan kenyataan mengenai PADU sering bercanggah sejak awal pengumuman. 

“Apa yang pasti, PADU dibuat dengan tergesa-gesa, rakyat digesa mendaftar, harga diesel naik tergesa-gesa. 

“Adakah kerajaan juga sudah tergesa-gesa mahu dijatuhkan oleh rakyat? Rakyat juga tidak sabar,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -