Kapitalis untung, masyarakat rosak angkara judi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hasrat menjadikan Kedah sebagai negeri bebas judi bukanlah bermakna menyekat kebebasan atau hak kaum bukan-Islam, sebaliknya demi kesejahteraan dan keharmonian kepada semua kaum.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pihaknya kesal terhadap golongan yang lebih rela meraih keuntungan peribadi dengan mempertaruhkan kesejahteraan institusi kekeluargaan dan masyarakat yang boleh runtuh akibat ketagihan judi.

“Cubaan pihak tertentu yang menggugat usaha murni kerajaan negeri menjadikan Kedah bebas judi, amatlah dikesali. Sedangkan ketagihan judi ini membawa kesengsaraan kepada masyarakat termasuk institusi keluarga,” katanya.

Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri menambah, kesungguhan kerajaan untuk melindungi Kedah ini dapat dinilai rakyat berbanding anasir kapitalis judi yang hanya membawa kerugian berbanding kebaikan.

ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari pula berkata, kerajaan negeri perlu berjuang sehingga ke akhirnya melalui saluran perundangan untuk mempertahankan usaha murni yang telah dikuat kuasa sebelum ini.

“Saya mengharapkan rayuan yang difailkan ke Mahkamah Rayuan akan menghasilkan jawapan yang positif kepada kerajaan negeri,” ujar beliau.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kedah ini turut menyifatkan pihak yang mencabar pelaksanaan tersebut hanya memikir keuntungan diri sendiri dan bukannya kesan aktiviti tidak bermoral itu kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Mardhiyyah turut menyelar golongan yang hanya memikirkan hak asasi kapitalis dan pemain judi tanpa memikir hak asasi keluarga yang menghadapi masalah kewangan akibat perjudian.

Malah, isteri dan anak-anak serta pihak lain tambahnya, terpaksa menghadapi bebanan kewangan akibat ketagihan judi lebih-lebih lagi sekiranya si penjudi adalah ketua keluarga.

“Bukan sahaja menghadapi bebanan kewangan tetapi juga bebanan kekerasan fizikal akibat ketagihan judi.Oleh itu saya merasa amat kesal kerana mereka sanggup mencabarnya di mahkamah.

“Adakah pihak ini  tidak mengambil kira kesejahteraan masyarakat untuk hidup bebas daripada kesan negatif perjudian?” soalnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -