SEGiM: Jangan jawab, ‘bukan di bawah kuasa Kementerian kami’

Abdul Hakim Abdul Rani
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kita tidak mahu kerajaan hanya bercakap semata-mata tetapi melakukan perkara sebaliknya.”

Itu penegasan Timbalan Presiden Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani mengenai kepentingan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan industri Gig.

- Advertisement -

“Ini kerana kita tidak mahu lagi adanya jawapan  ‘ini bukan di bawah kuasa kementerian kami’  sekiranya berlakunya sebarang masalah berkaitan ekonomi Gig seperti mana yang telah berlaku sebelum ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, industri Gig (ekonomi Gig) bukan sahaja melibatkan sektor seperti e-Hailing dan p-Hailing, tetapi juga sektor pelancongan, pembuatan, perkhidmatan sokongan dan seumpamanya.

“Beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang sedia ada perlu dilibatkan oleh pihak kerajaan bagi menguruskan ekonomi Gig negara ini,” tegasnya.

Perkara tersebut, ujar beliau, merupakan satu keperluan memandangkan sudah terlalu banyak sektor yang sudah mula berkait rapat dengan ekonomi Gig itu sendiri.

“Sebagai contoh, perlunya ada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi, Jabatan Agama dan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dalam menguruskan ekonomi Gig di negara ini.

“Ini kerana kerjasama Kementerian-Kementerian sebegini diperlukan memandangkan sistem ekonomi Gig sudah mula meluas dalam sektor-sektor yang telah saya nyatakan tadi.

“Malah, kita mahu adanya penyelesaian secara menyeluruh dalam isu yang melibatkan e-Hailing dan p-Hailing ini supaya perkara sebegitu tidak akan terus diulangi pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau menyatakan, pada masa ini perkhidmatan e-Hailing dan p-Hailing adalah di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) iaitu di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia satu-satunya.

Namun begitu, kata beliau lagi, sudah banyak isu yang timbul seperti aplikasi syarikat, pelan harga lantai, penguatkuasaan dan seumpamanya masih tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Kita harus faham bahawa industri Gig bergerak dengan terlalu pantas dan setiap pindaan akta dan polisi di bawah kementerian akan mengambil masa anggaran tiga hingga lima tahun.

“Kita tidak mampu nak menunggu dalam tempoh sebegitu memandangkan sudah terlalu banyak isu berkaitan e-Hailing dan p-Hailing berlaku dalam negara ini yang mana perkara sebegini tidak boleh lagi dibiarkan.

“Jadi, penubuhan SEGiM yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti dilakukan bagi menyelesaikan segala masalah tersebut yang sudah melanda sejak sekian lama. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -