
KUALA LUMPUR: “Masyarakat diseru ‘membakul sampahkan’ tanggapan buruk terhadap politik yang biasanya diangap sebagai satu perkara yang menggerunkan sehingga muncul pelbagai anggapan buruk seperti permusuhan.”
Itu penegasan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berkata, tanggan tersebut mungkin juga kesan daripada amalan lampau seperti menyekat bantuan apabila berbeza pandangan atau parti.
“Hati kita mungkin puas, perasaan kita mungkin terubat tetapi akhirnya ia tidak pun menyelesaikan masalah dan tidak menguntungkan sesiapa,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, walau apa jua pandangan dan penglibatan masyarakat dalam politik kepartian, mereka tetap rakyat yang patut disantuni dan dibantu.
“Melaksanakan perkara ini bunyinya mudah, tetapi memerlukan keazaman, kekuatan dan semangat rakyat kita, agensi-agensi, semua anggota pentadbiran kerajaan termasuk Menteri Besar.
“Barulah negara kita bersama-sama rakyatnya boleh membangun sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024




















