
NIBONG TEBAL: Petugas serta Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) dari negeri bantu sedang berhabis-habisan berkempen pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap untuk kemenangan calon PN, Abang Abidin.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Kedah, Nurul Atikah Mohd Sharif berkongsi, selain bertemu para pengundi, petugas pilihan raya khususnya Muslimat juga mengadakan munajat khas mendoakan kemenangan calon PN.
“Kedah antara negeri bantu yang komited menghantar petugas hingga menjelang penghujung hari perhitungan, malah muslimat telah hadir membantu sebelum hari penamaan calon lagi,” maklumnya.
Kata Atikah, sebagai negeri berjiran dengan Pulau Pinang, terutama kawasan Kulim-Bandar Baharu yang kedudukannya hanya bersebelahan dengan Sungai Bakap, menjadi tanggungjawab untuk membantu calon PN di situ.
“Kedah diberi tanggungjawab di dua Unit Daerah Mengundi (UDM) iaitu UDM Puteri Gunong dan Tasek Junjung. Agak berat jugalah, Alhamdulillah dengan komitmen petugas, kita laksanakan sebaik mungkin,” kata beliau.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha III PAS Kedah menambah, pihaknya menyediakan jadual mengikut Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan untuk hadir bertugas.
Jelas beliau lagi, petugas muslimat boleh memilih sama ada untuk berulang atau menginap di kediaman yang disediakan, tetapi beliau lebih menggalakkan bermalam di situ agar perancangan kerja boleh dilakukan lebih awal.
“Kadang-kadang rasa macam pilihan raya di negeri sendiri pula. Walau bagaimanapun, semua ini pengalaman yang boleh digunakan pada masa akan datang,” tambahnya yang baharu setahun diberi amanah tersebut.
Sungguhpun begitu katanya, beliau bersama Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Muslimat Negeri Kedah telah mempunyai pengalaman mengendalikan petugas di beberapa PRK sebelum ini.
Sementara itu berhubung maklum balas orang ramai yang ditemui petugas Kedah, katanya, kebanyakannya memberi reaksi yang baik termasuk pengundi bukan-Melayu.
Kebanyakan isu yang mereka utarakan jelas beliau, adalah berkaitan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Persekutuan yang gagal menangani masalah ekonomi serta kos sara hidup, termasuk kenaikan harga minyak diesel mengakibatkan harga barang melambung naik. – HARAKAHDAILY 5/7/2024












