
NIBONG TEBAL: Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Halimah Ali menyatakan, PAS sentiasa bersikap inklusif dan terbuka menerima semua kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Beliau menolak tuduhan bahawa parti itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bukan-Islam, sebaliknha menekankan bahawa PAS tidak menghadapi sebarang masalah dengan pelbagai bahasa dan budaya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa majlis ramah mesra Naib Presiden PAS bersama ahli perniagaan Tiong Hua di sini, hari ini.
“Gelombang hijau yang diperkatakan tidak seharusnya menjadi isu. Contohnya, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri baru saja membawa rombongan dari kaum Cina Pulau Pinang ke Kelantan untuk melihat sendiri kehidupan kaum itu di negeri itu.
“Mereka digembar-gemburkan seolah-olah orang Cina di Kelantan sudah tidak Cina. Tetapi sebaliknya, orang Cina di Kelantan boleh makan apa yang orang Cina di Pulau Pinang boleh makan, mereka boleh beragama dan berbudaya di Kelantan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa perpaduan kaum adalah sesuatu yang biasa dalam PAS.
“Kami dalam PAS tidak ada masalah dengan bahasa dan budaya lain. Masalah hanya timbul apabila isu ini dipolitikkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapar.
Dr Halimah juga menegaskan bahawa PAS tidak terlibat dengan rasuah dan mencontohkan kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat semasa beliau menjadi Menteri Besar Kelantan.
“Tuan Guru kata orang Cina tidak tahu kita sebab mereka tidak mengenali kita. Orang Cina rajin membaca dan berfikiran terbuka, kita perlu mengetuk pintu seramai mungkin orang Cina untuk mereka mengenali PAS,” ujarnya lagi.
Beliau juga bersikap optimis terhadap masa depan Malaysia yang lebih baik di bawah perpaduan dipupuk oleh PAS. – HARAKAHDAILY 5/7/2024











