
NIBONG TEBAL: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menekankan kepentingan hubungan antara kaum yang berasaskan saling memahami dan menghormati keperluan setiap kaum di negara ini.
Katanya, hubungan harmoni tidak boleh dicapai jika setiap pihak hanya memikirkan keinginan sendiri, sebaliknya penting memahami keperluan kaum lain seperti Cina, India, Melayu dan sebagainya.
“Barulah kita boleh hidup dalam keadaan harmoni, jika kita tanya 10 orang Melayu, mereka akan memberikan keperluan yang berbeza. Begitu juga dengan kaum Cina, tetapi kita harus belajar untuk hidup bersama, barulah kita akan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Ramah Mesra bersama ahli perniagaan Kaum Tiong Hua di sini, hari ini.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kestabilan negara adalah kunci kepada kemakmuran.
“Kita perlu memastikan kepelbagaian di negara ini berada dalam keadaan stabil. Semua aktiviti akan berjalan dengan baik jika keadaan stabil, jika tidak, pelbagai masalah akan timbul,” tambahnya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS menekankan bahawa setiap rakyat berhak untuk menerima bantuan tanpa mengira kaum, selagi mereka layak.
“Kita mahu memastikan hasil negara dapat dinikmati oleh semua rakyat yang berhak. Kepelbagaian dalam negara perlu memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Samsuri turut mengingatkan bahawa walaupun rakyat mempunyai pandangan politik masing-masing, negara tidak akan bergerak ke hadapan jika terlalu fokus kepada politik sepanjang masa.
“Akhirnya, yang akan menikmati kebaikan adalah semua rakyat. Jangan sampai kepercayaan rakyat kepada kerajaan semakin berkurang. Negara kita kecil, dan jika kita tidak dapat fokus, ia tidak akan memberi kelebihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024












