
KUALA TERENGGANU: “Usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak diatur oleh mana-mana parti politik.”
Itu penegasan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menurutnya, isu-isu yang timbul dalam negara pada masa ini, termasuk tekanan kehidupan yang dirasakan oleh rakyat adalah faktor utama yang mendorong gerakan tersebut.
“Saya lihat secara umumnya isu yang ada dalam negara banyak dan bukan parti politik sahaja yang memainkan isu yang ada ini.
“Bahkan kita lihat di media sosial ia berlaku secara organik dalam kalangan rakyat, pengusaha, peniaga kecil dan sebagainya yang merasa telah berlaku tekanan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One-Off‘ tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini.
Tambah Samsuri, gerakan menolak Anwar adalah inisiatif oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan diatur oleh parti politik.
“Jadi, terpulang kepada tafsiran mana-mana pihak apa yang sedang berlaku ini, tetapi pokok pangkalnya isu dalam kalangan rakyat ini telah berlaku secara organik bukan diapi-apikan oleh mana-mana pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024




















