‘Adakah PMX mahu gambarkan Malaysia hipokrit?’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah Perdana Menteri Malaysia (PMX) mahu menggambarkan Malaysia ini hipokrit? Sedangkan pelajar-pelajar di Barat rancak menuntut universiti masing-masing untuk memutuskan hubungan dengan entiti yang pro-Israel.”

Profesional Istiqamah berkata demikian susulan isu pembelian 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh konglomerat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock) melalui Global Infrastructure Partners (GIP) yang disifatkannya bukan sepertimana urusan biasa di bursa saham, yang terbuka untuk orang awam. 

- Advertisement -

Sebaliknya, pembelian saham MAHB kali ini adalah berbentuk pembelian saham syarikat, yang mana ia diterajui oleh Khazanah Nasional.

“Tawaran pembelian saham ini pula dibuat secara tertutup secara khusus kepada Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Khazanah Nasional pula merupakan entiti bawah Menteri Kewangan. Menteri Kewangan kita siapa? Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia.

“Ada yang mengatakan GIP tiada kaitan dengan Blackrock? Sedangkan perjanjian pengambilalihan saham GIP oleh Blackrock telah pun disahkan seawal 2024 lagi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, naratif GIP tidak mempunyai kaitan dengan Blackrock diulang begitu banyak dan dijadikan hujah utama oleh ‘laskar siber’ pimpinan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagi membenarkan tindakan kerajaan. 

“Jika disemak pada laman sesawang GIP sendiri, terdapat intipati persetujuan Blackrock dengan GIP.

“Bahkan portal-portal berita antarabangsa juga melaporkan hal ini. Jadi mengatakan GIP tiada kaitan dengan BlackRock merupakan satu penipuan besar. 

“Blackrock tak perlu cerita panjang, semua tahu kecenderungan mereka yang jelas menyokong Zionis.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim amat hebat di pentas antarabangsa. Beliau dengan berani mengkritik secara berdepan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac 2024 ketika lawatan rasmi enam hari ke Jerman atas kegagalan barat dan sekutunya bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza,” ujarnya.

Tambah Profesional Istiqamah, PMX sewaktu di Doha, Qatar juga pernah mengkritik Barat berkenaan isu Palestin dan secara zahir menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin, dan secara lisan menyokong Palestin dan mengkritik Barat di pentas antabangsa. 

Hal ini menurutnya, adalah perkara yang boleh dipuji.

“Namun, alangkah baiknya jika kata-kata dapat diselarikan dengan tindakan. Kalau bercakap, semua orang boleh bercakap. 

“Laporan portal Singapura, CNA bertarikh 17 Jun 2024 amat merisaukan kerana menurut penganalisa, Malaysia akan teruskan transaksi MAHB dengan GIP walaupun mendapat tentangan dari ramai rakyat Malaysia.

“Jika benar Datuk Seri Anwar bersama perjuangan Palestin, selarikanlah kata dengan tindakan. Kita masih ada masa kerana tempoh ‘due diligence’ penjualan saham ini berakhir pada Ahad (30 Jun) ini.

“Harap Perdana Menteri Malaysia benar-benar bersama-sama dalam solidariti bersama Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

T

- Advertisement -