Muslimat PAS ketengah isu kos sara hidup di Nenggiri 

Ilvira Mohd Dasuki
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Kelantan bersiap sedia untuk turun padang bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos hadapan.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Rayanya, Ilvira Mohd Dasuki berkata, jentera pilihan raya Dewan Muslimat sudah lama bersiap sedia bagi menghadapi PRK tersebut.

Katanya, usaha memperkasa organisasi pilihan raya di peringkat Dewan Muslimat Gua Musang sudah dilaksanakan dengan menyusun strategi untuk mengekal kemenangan Perikatan Nasional (PN) di DUN Nenggiri.

“Apa yang penting kita berharap pengundi di DUN Nenggiri menggunakan kesempatan PRK tersebut dengan keluar mengundi beramai-ramai.

“Undi mereka amat penting demi untuk mengekalkan kemenangan PN di DUN Nenggiri. Dan pada masa yang sama ia sebagai signal menolak kegagalan kerajaan Madani,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan tarikh pengundian PRK Nenggiri pada 17 Ogos, penamaan calon (3 Ogos) dan pengundian awal (13 Ogos).

Ilvira juga berkata, isu kos sara hidup yang kian meruncing dengan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi isu utama akan diketengahkan pada kempen tersebut.

Menurutnya rakyat di seluruh negara menghadapi tekanan hidup berikutan kenaikan harga diesel secara mendadak pada 10 Jun lepas.

“Rakyat menghadapi kos kenaikan harga semua jenis barang dan perkhidmatan kesan daripada kenaikan diesel,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -