Pembinaan Kompleks Sukan dijangka bermula Okt

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kerja-kerja pembinaan infrastruktur Kompleks Sukan Madinah al Riadhah di Bukit Merbau, Pasir Puteh dijangka bermula Oktober ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasi Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamankhari Muhamad berkata, kerja-kerja akan bermula sebaik sahaja kerja tanah dan pembinaan jalan masuk siap.

Katanya, sehingga kini kerja-kerja tanah di tapak pembinaan bangunan kompleks sukan berkenaan melebihi 90 peratus.

“Menurut JKR proses memecah batu-batu besar yang dilakukan di tapak terbabit agak lambat.

“Dua hari lepas saya ada berbincang dengan pihak JKR berhubung perkara itu. Untuk memecah batu perlu ikut peraturan polis kerana dia ada limid kekuatan bom.

“JKR dalam proses untuk minta kebenaran pihak berkuasa keselamatan untuk tingkatkan kapasiti bom supaya batu-batu tersebut dapat dipecahkan lebih cepat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Kelantanku Cakna DUN Apam Putra Siri 2 semalam. (Foto atas)

Program berkenaan diadakan di Dewan Samad Gol Pusat Tarbiah Rantau Panjang, dekat sini.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun proses kerja-kerja tanah agak lambat, namun beliau yakin pembinaan stadium berkenaan akan siap mengikut jadual.

Kata beliau sehingga kini Kelantan masih kekal akan menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Malaysia bagi edisi 22 pada tahun 2028.

Kompleks Sukan di Bukit Merbau melibatkan kos awal hampir RM130 juta. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -