
KUALA LUMPUR: “Sebelum membuat sebarang ucapan untuk ‘pusing-pusing’, Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dinasihatkan agar memeriksa fakta betul-betul dan jangan memperbodohkan lagi rakyat seperti mana memperbodohkan pengikut-pengikut sendiri.”
Mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, semalam (11 Jun), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, adalah tidak realistik untuk rakyat merujuk video yang beliau kata ‘menang hari ini esok minyak turun’ dalam ucapannya pada tahun 2008.
“Masalahnya di sini ialah ucapan beliau kata ‘menang hari ini minyak turun’ itu bukan pada tahun 2008 sahaja tetapi juga diulang-ulang sehinggalah pada dua tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada tahun 2022,” katanya.
Menurut beliau, perkara tersebut dibuktikan dalam Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan Julai 2022 yang mana Datuk Seri Anwar sendiri mengulangi lagi perkataan tersebut dan siap mendakwa harga minyak tidak turun sebelum ini kerana dirinya tidak menjadi Perdana Menteri.
Tambah beliau, setelah dilantik menjadi Perdana Menteri, bukan sahaja harga minyak tidak diturunkan tetapi sebaliknya dinaikkan pada kadar tertinggi dalam sejarah.
“Beliau sendiri yang kata kononnya dulu harga minyak negara-negara di dunia rendah oleh itu tanggungan subsidi rendah dan masa itu boleh turunkan minyak tapi sekarang tak boleh.
“Saya ingin menyatakan satu persoalan kepada Perdana Menteri iaitu penasihat mana yang memberikan nasihat sebegini?
“Pada masa itu (Julai 2022) harga minyak mentah dunia bukan lebih rendah tetapi lebih tinggi iaitu pada paras AS$95 setong berbanding hari ini iaitu AS$77 setong.
“Maksudnya semasa beliau buat ucapan itu, tanggungan subsidi kerajaan adalah lebih tinggi berbanding sekarang tetapi kerajaan ketika itu boleh kekalkan harga diesel pada RM2 hingga RM2.50 seliter,” ujarnya.
Kata beliau lagi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membuat dakwaan pada tahun 2008 iaitu semasa dirinya menuntut harga minyak turun, harga minyak mentah dunia adalah rendah dan kononnya masuk akal untuk turunkan harga minyak pada ketika itu jika dibandingkan dengan waktu sekarang.
Beliau menyatakan perkara tersebut adalah tidak betul kerana pada tahun tersebut, harga minyak mentah dunia melepasi paras AS$100 setong, dan dalam beberapa bulan ia berada di paras antara tertinggi dalam sejarah iaitu sehingga AS$125 setong.
“Saya masih ingat keadaan ini di mana saya telah dihantar ke Unit Perancang Ekonomi untuk menangani masalah ini dan menurunkan semula harga minyak petrol di pam yang dinaikkan sebelum itu.
“Walaupun harga minyak mentah dunia antara tertinggi dalam sejarah pada ketika itu, kerajaan tidak naikkan harga diesel di pam tertinggi dalam sejarah seperti dilakukan oleh kerajaan sekarang ini di mana harga minyak mentah dunia adalah jauh lebih rendah berbanding tahun 2008,” katanya. -HARAKAHDAILY 12/6/2024




















