Pengundi Kuala Kubu Baharu dapat hadiah kenaikan harga diesel 

Pengundi dalam PRK Sungai Bakap menjelang 6 Julai ini perlu mengambil iktibar daripada kesilapan yang telah dilakukan majoriti pengundi PH dalam PRK Kuala Kubu Bharu sebelum ini.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Madani menghadiahkan pengundi di Kuala Kubu Baharu dengan kenaikan harga diesel setelah mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei lepas.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kesan kenaikan harga diesel bukan sahaja dirasai penduduk di Kuala Kubu Baharu, sebaliknya seluruh Semenanjung Malaysia. 

- Advertisement -


“Oleh itu, pengundi Sungai Bakap kelak  jangan mengulangi kesilapan serupa pada PRK 6 Julai ini.

“Sekiranya PRK Sungai Bakap dimenangi lagi parti Kerajaan Madani tidak mustahil banyak lagi perkara yang mereka akan ubah termasuk harga petrol kemungkinan naik.

“Bukan sahaja di Sungai Bakap yang rugi, sebaliknya seluruh negara akan menerima padah dengan kenaikan harga barang yang tiada kesudahan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Siti Zailah Mohd Yusof

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao mengekalkan kerusi yang sebelum disandang oleh parti tersebut dengan majoriti 3,869 undi.

Beliau memperolehi 14,000 undi menewaskan pencabar utama dari Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, PRK Sungai Bakap hendaklah dijasikan sebagai isyarat menolak Kerajaan Madani.

Menurutnya juga, berdasar perkembangan semasa selepas penamaan calon, pengundi di Sungai Bakap dilihat positif memberi sokongan kepada PN.

Kata beliau, rakyat menyambut baik perjuangan PN dan mendoakan semoga gabungan itu dapat mempertahankan kemenangan dalam PRK Sungai Bakap.

“Sektor pembinaan antara yang terjejas teruk kesan kenaikan harga diesel. Peningkatan statistik perumahan sakit dan terbengkalai dijangka bertambah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -