
KUALA LUMPUR: Tindakan yang dilakukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pertahanan, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Negeri Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini menunjukkan wajah sebenar Kerajaan Madani di sebalik Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).
Pemuda PERIKATAN NASIONAL dalam kenyataannya berkata, DAP melalui Kor Ming telah menyalurkan RM5.21 juta untuk meningkatkan infrastruktur di KKB; yang merupakan peruntukan yang paling awal dan paling banyak disalurkan kerana calon PRK KKB parti itu ialah Setiausaha Akhbar kepadanya.
Menurut kenyataan tersebut, Umno menerusi Mohamed Khaled pula masih konsisten mengamalkan politik tradisi parti itu dalam memberi ‘gula-gula’ politik dalam kempen pilihan raya PRK KKB dengan menyalurkan hampir RM600,000 untuk membaiki Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari pula telah menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri di KKB pada hari penamaan calon. Tindakan Naib Presiden PKR itu bertentangan dengan seruan Timbalan Presiden PKR pada minggu lalu. Ketiga-tiga menteri ini adalah Naib Presiden parti masing-masing.
“Sementara, Dr Dzulkefly yang pernah mengkritik Umno susulan isu penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK Port Dickson 2018 mula berjangkit dengan perangai Umno apabila mengumumkan Hospital KKB bakal dinaiktaraf. Kesemua mereka memberi ‘alasan kanak-kanak’ iaitu semua tindakan ini adalah ‘kebetulan’ dan tiada sebarang elemen politik,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, alasan yang begitu dangkal ini seakan merendahkan tahap intelek rakyat dan perkara ini tidak memadai membuat luahan di media sosial sahaja.
“Semua rakyat Malaysia mengharapkan Pengundi Kuala Kubu Bharu yang ada ‘ong’ untuk memberitahu Kerajaan Madani yang rakyat sekarang sudah tidak termakan dengan ‘gula-gula’ politik dan tahap intelek yang tinggi,” tegas kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, semua parti komponen Kerajaan Madani kecuali Umno suatu ketika dulu memperjuangkan tata kelola yang telus dan lantang mengkritik penyalahgunaan agensi kerajaan dalam kempen pilihan raya.
“Malah pasca-PRU15, Rafizi masih mengulangi perkara ini dalam Konvensyen Ulangtahun PKR ke-25 pada 21 April lalu.Perkara ini akan menjadi satu anjakan paradigma kepada arena politk negara jika diimplementasikan yang mana ianmelambangkan kematangan sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara kita.
“Namun seribu kali sayang, kini ‘gula-gula’ politik sekali lagi ditabur oleh semua parti komponen dalam Kerajaan Madani dalam PRK Kuala Kubu Bharu,””kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 30/4/2024




















