
GAZA: Tentera Israel meninggalkan bayi untuk mati di Hospital Kanak-kanak al-Nasr, kata doktor Palestin, Mona Sahwil, menceritakan jenayah kejam yang dilakukan oleh tentera Israel selepas menyerbu kemudahan perubatan itu.
“Kami terkejut bahawa tentera Zionis meninggalkan bayi untuk mati dan mayat mereka reput tanpa membenarkan sesiapa menyelamatkan mereka,” katanya.
Sahwil yang dipindahkan dari utara ke tengah Gaza akibat perang Israel yang dahsyat berkata, dia bekerja sebagai pakar pediatrik di jabatan rawatan rapi hospital itu apabila jenayah Israel berlaku pada 10 November lalu.
Beliau yang kini bekerja di Hospital al-Aqsa di bandar Deir al-Balah, berkata tentera Israel mengepung Hospital al-Nasr pada hari kejadian, sekali gus membahayakan kakitangan perubatan dan pesakit.
Menurutnya, kakitangan perubatan terpaksa mengosongkan hospital dan penyelarasan dibuat dengan institusi antarabangsa untuk memindahkan kakitangan perubatan dan kanak-kanak yang sakit ke hospital lain.”
“Kami bersedia untuk keluar bersama kanak-kanak yang menggunakan alat pernafasan, tetapi tentera Zionis memasuki hospital dan memberitahu kami untuk meninggalkan pesakit dan memberitahu pasukan antarabangsa akan datang dan memindahkan mereka.”
Komunikasi dengan hospital kemudian terputus, manakala pasukan perubatan serta kakitangan diarahkan meninggalkan hospital, katanya.
“Kami terkejut apabila melihat gambar kanak-kanak dengan mayat reput di atas katil mereka. Tiada sesiapa yang membawa mereka dari hospital, mereka kekal di sana sehingga meninggal dunia dan mayat dibiarkan reput,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Ashraf Al-Qudra, mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa lima bayi meninggal dunia dan mayat reput ditemui di Hospital al-Nasr.
Selepas tentera Israel berundur dari kawasan kejiranan al-Nasr, Kemusnahan teruk berlaku dalam hospital dengan mayat bayi mereput dan tulang-tulang kecil bertaburan di atas katil.
“Berikutan pengunduran tentera Israel dari kawasan kejiranan al-Nasr, mayat kanak-kanak ditemui di atas katil hospital,” kata Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Ismail Al-Thawabta.
“Tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap manusia di Hospital Kanak-kanak Al-Nasr,” kata Thawabta yang menjelaskan bahawa tentera Israel memaksa doktor meninggalkan hospital dengan senjata dihala ke arah mereka.”
“Selepas 20 hari, pasukan perubatan kembali dan mendapati semua pesakit kanak-kanak meninggal dunia, badan mereka reput, dengan cacing keluar daripada mereka,” katanya yang menegaskan bahawa Israel, Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab terhadap jenayah itu.– HARAKAHDAILY 17/3/2024




















