
KUALA LUMPUR: Rakyat yang berniaga secara kecil-kecilan tanpa mendaftar perniagaan mereka dikategorikan sebagai ‘usahawan informal’ perlu diberi pendedahan berkenaan program penaiktarafan menjadi ‘usahawan formal’.
Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) perlu menjalankan usaha yang lebih agresif untuk mempromosikan program tersebut.
“Kita faham dalam keadaan yang meruncing hari ini rakyat tengah susah dan mereka tidak ada punca pendapatan. Maka mereka nak berniaga. Jadi apabila ada bantuan untuk ‘usahawan informal’ ini saya ingin tahu apakah usaha yang diberikan?
“Yang telahpun ataupun dalam perancangan oleh pihak Kementerian untuk melipatgandakan lagi usaha bagi memaklumkan kepada orang ramai kerana ramai yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya adalah tergolong dalam ‘usahawan informal’? soalnya.
Tambahnya, dengan penaiktarafan untuk mereka beralih kepada ‘usahawan formal’, ia akan membolehkan para usahawan tersebut mendapat suntikan ataupun pembiayaan dan sebagainya daripada pihak kementerian.
Beliau semasa mengajukan soalan tersebut turut meminta penjelasan kerajaan sekiranya terdapat usaha untuk menambah dana pinjaman TEKUN yang dilihat berkurang dalam tempoh singkat.
“Sebab saya difahamkan pada tahun ini jumlah pinjaman diberikan kepada TEKUN adalah sebanyak RM330 juta. Dan saya difahamkan sampai Februari telah pun habis RM110 juta.
“Kalau kita tengok dalam keadaan itu banyak sekali yang diperlukan sebab baru bulan kedua dah RM110 juta selesai, jadi baki ada tinggal lagi beberapa juta,” kata beliau di Dewan Rakyat sewaktu mencelah Penggulungan Kementerian Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato’ Ramanan Ramakrishnan dalam menjawab pertanyaan tersebut berkata, kementeriannya telah menggunakan platform media sosial kementerian bagi memaklumkan kepada orang ramai berkaitan program menaiktaraf ‘usahawan informal’ tersebut.
“Kita telah menyediakan banyak, kalau kita tengok dalam media sosial memang dalam media sosial pun kita letak. Kalau kita tengok di laman sesawang pun kami telah letakkan apa-apa yang diperlukan.
“Apa yang diperlukan untuk mereka mendapat tahu sama ada mereka di dalam golongan formal ataupun informal,” kata beliau.
Tambah beliau, pihak kementerian juga akan mengambil kesempatan pada program-program turun padang mereka untuk cuba mengenalpasti sekiranya terdapat ‘usahawan informal’ di kawasan tersebut.
Bagi soalan berkaitan dana TEKUN pula, Timbalan Menteri berkata, pihak kementerian mempunyai dana dalaman yang akan digunakan sekiranya dana tahunan yang diperuntukan kepada agensi itu habis.
“Contohnya kalau kita ambil daripada tahun 2023 yang sebelum ni, kita telah dapat ‘top up’ sebanyak RM10 juta. Kalau tidak cukup kita gunakan dana dalaman, kalau tak silap saya RM1.4 juta,” ujarnya.
Selain itu katanya, dana yang dikumpul daripada pembayaran balik dibuat peminjam turut digunakan untuk memberi pinjaman baru kepada usahawan. – HARAKAHDAILY 13/3/2024




















