
KUALA LUMPUR: Pemimpin Melayu-Islam dan Bumiputera perlu terus menjadi tonggak negara ini dengan mengemudi dan menguasai kerajaan bagi mengangkat suara majoriti rakyat yang merangkumi lebih 60 peratus daripada penduduk di negara ini.
Ustaz Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, semua pihak perlu memelihara resepi utuh tersebut yang telah memangkin kemakmuran dan keharmonian Malaysia selama ini.
“Jangan ada pihak yang cuba melanggar dan menggoncang perkara ini. Sensitiviti umat Islam perlu diambil berat oleh pemimpin yang menjaga negara. Jika ada suatu perkara yang disuarakan oleh pihak berautoriti dalam agama Islam, suara itu perlu dititiberatkan, bukan diabaikan.
“Saya mengambil contoh kenyataan Mufti Pulau Pinang yang telah menggesa pihak kerajaan membatalkan konsert artis luar negara, Ed Sheeran di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana kumpulan artis terbabit dikatakan penyokong tegar komuniti LGBT.
“Beliau juga menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam, Malaysia sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis yang mendukung amalan maksiat.
“Apa yang lebih dikesali konsert tersebut berlangsung pada malam yang sangat mulia iaitu malam Nisfu Syaban,” ujar beliau membahas Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Menurut beliau, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara dan mempertahankan Islam dari dicemari oleh mana-mana pihak di mana Mufti merupakan pihak yang berperanan kepada hal tersebut.
“Mufti telah memberikan amaran, namun Menteri yang mempunyai kuasa tetap memberikan lampu hijau dengan alasan yang tidak konkrit. Jika kerajaan tidak cakna
dengan isu sensitif ini, mengambil mudah isu ini, maka saya nasihatkan YB Menteri Komunikasi untuk letak jawatan.
“Saya juga mencadangkan supaya garis panduan PUSPAL yang bertanggungjawab membuat kelulusan persembahan konsert luar negara ini diperketatkan dengan menitik
beratkan pandangan agamawan dan Mufti di dalam negara kita,” gesanya.
Tambahnya, ramai mengeluh, sedih dan hiba, serta mengadukan kekecewaan mereka terhadap isu ini apabila pandangan dan teguran Mufti diabaikan oleh pihak kerajaan.
Tetapi katanya, bayangkan kegembiraan dan kelegaan umat Islam di Malaysia apabila
kerajaan membatalkan konsert atas nasihat dan teguran Mufti, serta bayangkan juga Allah memberkati negara dan pemimpin apabila nasihat agama dijunjung tinggi. – HARAKAHDAILY 5/3/2024




















