
KUANTAN: Seramai 60 orang pelajar sekolah rendah telah disantuni dalam program ‘Back To School’ siri kedua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
“Ustaz, terima kasih! Ustaz telah dapat meringankan sedikit beban kewangan kami untuk perbelanjaan awal persekolahan anak-anak kami,” ujar ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam sebak menceritakan perasaan rata-rata ibu bapa para pelajar yang terlibat.
Beliau berkata, lega rasa hati dan berasa lapang dada kerana sekali lagi dapat menunaikan amanah daripada sumbangan orang ramai untuk membeli pakaian sekolah anak-anak yatim dan fakir miskin dalam DUN Tanjung Lumpur.
“Saya hanya wakil menyampaikan sumbangan orang ramai kepada yang memerlukan. Awak orang tolonglah doakan juga kepada para penyumbang agar dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan mereka semua,” ujar beliau kepada penerima sumbangan dan ibu bapa yang hadir di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur.
Sumbangan yang diagihkan berupa set pakaian sekolah untuk lelaki dan perempuan yang bernilai RM150 termasuk tali pinggang, sepasang kasut dan stokin.
“Insya-Allah, siri ketiga akan menyusul terdekat dan kami masih memerlukan sumbangan daripada para dermawan,” katanya lagi.
Kepada para dermawan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Dana Kebajikan Rakyat DUN Tanjung Lumpur bernombor 5562 2640 2359. – HARAKAHDAILY 5/3/2024











