Iran sokong usaha ketua PBB tamatkan genosid di Gaza

Hossein Amir-Abdollahian dan Antonio Guterres dalam pertemuan di Geneva, Switzerland pada 26 Feb 2024. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

TEHRAN: Iran menegaskan menyokong penuh usaha Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata, Tehran menyokong usaha setiausaha agung PBB, Antonio Guterres  untuk menghentikan serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

- Advertisement -

Amir-Abdollahian dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres di Geneva, Switzerland, pada Isnin (26 Feb) menegaskan, PBB boleh mengharapkan bantuan Iran untuk mewujudkan keselamatan mampan di rantau Arab, lapor MNA.

Merujuk kepada pertemuannya baru-baru ini dengan pemimpin penentangan Palestin di Lubnan dan Qatar, beliau menambah bahawa barisan penentangan di Palestin berada dalam situasi yang sangat baik dari segi kuasa ketenteraan untuk meneruskan perjuangan menentang pencerobohan Israel.

“Walau bagaimanapun, rejim Israel berterusan melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin, dan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, terutama di  bahagian utara, keadaannya sangat memudaratkan,” tegasnya.

Diplomat tertinggi Iran itu menyatakan bahawa kumpulan penentang Palestin menyokong gencatan senjata kekal di Gaza tetapi rejim Israel, dengan sokongan Amerika Syarikat, berkeras untuk meneruskan perang. 

Beliau merujuk kepada krisis kemanusiaan yang dilabelkannya sebagai ‘sangat teruk’ di Gaza dan berkata, Israel telah membunuh beribu-ribu rakyat Palestin dengan bom dan kini berusaha menjadikan penduduk yang masih hidup menhadapi masalah kebuluran makanan.

Dalam pada itu Amir-Abdollahian memuji usaha PBB dan ketuanya untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tetapi menegaskan bahawa tahap keadaan buruk di Gaza jauh lebih besar daripada bantuan PBB; dan beliau juga menyentuh tentang serangan Amerika Syarikat di Yaman.

“Amerika Syarikat  masih belum berminat untuk menamatkan perang dan lebih berusaha untuk memperhebatkan krisis di Laut Merah dan Yaman.

“Serangan tentera AS terhadap Yaman akan menjejaskan usaha bersama Iran-PBB untuk menyelesaikan krisis Yaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -