
KUALA LUMPUR: Penjawat awam ialah nadi kepada pemerintahan dan perjalanan pentadbiran, namun bersama dalam kerajaan hari ini ada parti yang begitu anti dengan penjawat awam, demikian kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
“Bila mereka jadi kerajaan, inilah agenda yang mereka laksanakan satu persatu, iaitu (antaranya) dengan pemansuhan pencen. Ya kita tahu bahawa di sana mungkin beban kerajaan semakin besar tapi tak perlu untuk dilaksanakan polisi yang mengejut seperti ini.
“Ini macam brake emergency ini. Kalau kita bawa kereta laju tiba-tiba kita brake emergency, sudah tentu semua yang berada dekat belakang akan terlompat ke depan.
“Jadi (sepatutnya) perlu ada semua standing pelaksanaan polisi (jika) nak hapuskan pencen dalam penjawat awam ini dalam masa beberapa tahun lagi,” ujar beliau dalam podcast ‘YB Apa Cerrr…’ di Bangunan Parlimen, di sini semalam.
Menurutnya, begitu juga terhadap rakyat apabila pihak kerajaan cuba mengharapkan persepsi rakyat kepada mereka semakin baik, tetapi nampaknya ia sukar dibaiki dengan pelbagai isu yang berlaku.
Ketua Penerangan PAS ini juga memberikan contoh kejatuhan nilai Ringgit yang dikritik teruk Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi pembangkang dahulu dan seolah-olah beliau boleh mengatasinya dalam satu malam.
Beliau juga membidas mengenai persepsi rasuah yang masih meluas dalam kalangan rakyat, selain Kerajaan Perpaduan tidak diterjemahkan dalam erti kata sebenar di mana sepatutnya melibatkan semua 222 Ahli Parlimen, tetapi peruntukan tidak diberi.
Begitu juga tempelaknya, dalam isu-isu berkenaan kos sara hidup, kerajaan hari ini belum ada penyelesaian yang meyakinkan, bahkan pengumuman yang dibuat sehinggakan melanggar segala prosedur kerajaan sendiri. – HARAKAHDAILY 27/2/2024











