Kelantan peruntukkan RM1 juta buat bukan Islam 

Zamakshari menyampaikan angpau kepada salah seorang tetamu dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu, Kelantan pada 23 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan lebih RM1 juta untuk kegunaan aktiviti masyarakat bukan Islam di negeri ini untuk sebarang aktiviti golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad berkata, program berkaitan aktiviti anak muda, kebajikan, warga emas atau seumpamanya disarankan memohon peruntukan.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak beliau akan mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan tersebut, selagi ia tidak bercanggah dengan syarat yang ditetapkan.

“Saya menyeru persatuan bukan Melayu Islam, sekiranya berhasrat untuk membuat program melibatkan antara kaum boleh hantar permohonan di pejabat exco,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, di sini, malam tadi.

Program berkenaan anjuran kerajaan Kelantan dengan kerjasama Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka).

Turut hadir ialah, Anggota Parlimen Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Pusat Khidmat DUN  Kota Lama, Datuk Zamri Ismail; Pengerusi Peka, Lim Guang Seng.

Sempena majlis ini, diadakan penyampaian lima anugerah kepada lima individu  yang cemerlang dalam bidang masing-masing, dua daripadanya terlibat dalam video dan fotografi, selain penerbit filem pendek, aktivis kemasyarakatan dan usahawan.

Turut diadakan ialah persembahan tarian naga dan gendang Cina.

Dalam  majlis itu juga, beliau menzahirkan  rasa syukur apabila satu gabungan kaum-kaum di Kelantan turut hadir untuk menyambut Tahun Baru Cina termasuk Melayu, India, Siam, Sikh dan lain-lain bangsa.

Tambah beliau, program tradisi kerajaan negeri yang dianjurkan lebih 30 tahun itu turut diadakan pada  tahun ini dengan lebih meriah melibatkan pelbagai kaum di Kelantan.

Zamakhsari menyatakan, ia sekaligus menangkis tomahan masyarakat luar yang sentiasa memberi gambaran negatif berhubung layanan kerajaan Kelantan terhadap masyarakat minoriti di negeri ini.

“Kita berharap, keharmonian ini berpanjangan dan menjadi simbol kekuatan perpaduan di Kelantan melalui ‘sikap matang’ rakyat negeri ini ketika menghadapi dakyah penghasut yang sengaja membangkitkan isu perkauman,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -