
ALOR SETAR: Isu peniaga di sekitar Jalan Pegawai di sini yang diperlukan untuk berpindah tapak niaga dari tapak sekarang ke tapak baharu di seberang jalan berhadapan dengan Affin Bank telah berjaya diselesaikan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Setelah mendengar dan berbincang, satu kata sepakat telah dicapai bersama pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan peniaga terbabit.
“Majoriti para peniaga yang ditemui bersetuju untuk pindahkan tapak niaga dari tapak sekarang ke tapak baru di seberang jalan berhadapan dengan Affin Bank,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, peniaga yang sudah ada lesen akan terus dibenarkan berniaga, manakala peniaga yang belum ada lesen boleh memohon lesen dan mematuhi ketetapan MBAS dari masa ke semasa.
“Kita pakat-pakat tolong sesama kita. Orang berniaga boleh berniaga. MBAS pun boleh susun atur kedudukan supaya memudahkan pihak-pihak yang terlibat.

“Semoga perpindahan ke tapak baharu ini akan merancakkan lagi pasar malam Jalan Pegawai,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Tambah beliau, di tapak baharu berkenaan, kawasannya lebih luas dan kurang kesesakan memandangkan operasi kedai di blok ini ditutup selepas jam 6 petang.
“Terima kasih kepada para peniaga, Datuk Bandar MBAS, para pegawai dan penguatkuasa serta semua yang memberikan kerjasama yang baik bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2023




















