
KUALA LUMPUR: Kenyataan media ahli veteran DAP, Lim Kit Siang tentang keperluan Perdana Menteri Malaysia dilantik daripada kalangan bukan Islam tidak lebih sekadar cerminan kepada menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya berkata demikian ketika mengulas isu tersebut menambah bahawa kenyataan Kit Siang itu hanyalah impian dan angan-angan DAP, dan bukanlah impian rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidaklah menghairankan memandangkan DAP juga turut bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan DAP sendiri,” katanya.
Tambah beliau, ironinya masih ada yang sanggup mempertahankan kenyataan provokatif sedemikian rupa.
“Bukankah ia boleh mendorong kepada ketidakstabilan dan perpecahan kaum yang ketara kemudiannya?
“Kenyataan tersebut menzahirkan imej sebenar DAP yang banyak menjadi punca perpecahan fabrik sosial masyarakat dalam negara.
“Mereka berpegang kepada Deklarasi Setapak yang menyatakan prinsip kesamarataan mutlak sekaligus menghapuskan keistimewaan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada orang Melayu-Islam,” soalnya.
Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh parti Melayu-Islam agar dapat kembali bertaut di bawah satu panji yang sama.
Beliau menegaskan bahawa gagasan penyatuan ummah harus kembali ditegakkan dalam medan politik negara bagi mengenepikan agenda songsang yang diperjuangkan oleh DAP.
“Seruan ini bukanlah mesej ke arah rasisme, tetapi memandu kestabilan negara yang adil kepada semua.
“Kita harus bangkit menolak idea yang boleh memecah belahkan masyarakat dalam negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2023




















