Pemimpin buruh desak Biden gencatan senjata Gaza

Shawn Fain (tengah) menyertai penggubal undang-undang Amerika Syarikat pada sidang media pada 14 Dis 2023 di Washington, DC, Amerika Syarikat menggesa gencatan senjata di Gaza. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

WASHINGTON, DC: Pemimpin buruh yang berpengaruh telah menyertai penggubal undang-undang progresif di Capitol Amerika Syarikat untuk mendesak pentadbiran Presiden Joe Biden menyokong gencatan senjata di Gaza.

Perwakilan dari United Auto Workers (UAW), United Electrical Workers (UEW) dan American Postal Workers Union (APWU) berkata, mereka telah merangka rayuan sebagai sebahagian daripada sejarah panjang pergerakan buruh yang menyokong hak asasi manusia di dalam dan luar negara.

- Advertisement -

“Kami tahu kesatuan menyediakan jambatan ke arah memerangi semua bentuk kebencian, fobia, perkauman, seksisme, anti-Semitisme, homofobia, Islamofobia dan banyak lagi,” kata Presiden UAW, Shawn Fain.

“Sekarang tiba masanya untuk seluruh pemimpin terpilih kami bagi meningkatkan dan melakukan apa yang diperlukan untuk menamatkan keganasan.”

Sidang media pada Khamis (15 Dis), waktu tempatan itu dianjurkan oleh Wakil Demokrat, Cori Bush dan Rashida Tlaib, yang memperkenalkan undang-undang pada Oktober  lalu menggesa gencatan senjata, lapor Al Jazeera.

Lebih 18,700 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza setakat ini, di tengah-tengah serangan tentera Israel yang berterusan.

“Sebagai seorang aktivis dan penganjur; dan anak perempuan yang bangga kepada bekas ahli kesatuan, saya tahu bahawa mesej asas setiap persatuan adalah untuk berdiri bersama rakyat, untuk memperjuangkan maruah mereka dan untuk membela mereka yang paling terpinggir,” kata Bush dalam sidang media berkenaan.

“(Hak) Kemanusiaan kita memerlukan kepada  gencatan senjata, dan itulah sebabnya saya sangat gembira untuk  kesatuan berada  di sini hari ini bagi menyertai perjuangan ini, kerana kita tahu bahawa kesatuan tahu bagaimana untuk mengatur, menggerakkan dan menggembleng tenaga ke arah matlamat tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, kedua-dua ahli Kongres dan pemimpin buruh menggunakan sidang media itu untuk menekankan kuasa politik yang dimiliki oleh kesatuan sekerja.

UAW, sebagai contoh, mewakili anggaran 400,000 ahli aktif, manakala Kesatuan Perkhidmatan Pos Amerika mempunyai 330,000 pekerja.

Mereka membayangkan mungkin ada akibat untuk Biden di peti undi, sekiranya beliau gagal mempedulikan gesaan mereka untuk gencatan senjata.

“Memandangkan AS membiayai kempen keganasan Israel, kami, pekerja, dipaksa menyokong rang undang-undang untuk pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak bersalah di Gaza,” kata Janvi Madhani dari UEW.

“Inilah masanya untuk pekerja memanfaatkan kuasa buruh dan kuasa pilihan raya kita untuk berdiri dalam perpaduan tanpa kompromi dengan tujuan kebebasan Palestin,” tegasnya lagi.

Wakil APWU, Judy Bear pula menyatakan bahawa gesaan organisasinya untuk gencatan senjata di Gaza mencerminkan pandangan yang lebih luas dalam kalangan orang awam AS.

“Sebagai sebuah kesatuan yang memperjuangkan kesaksamaan, keadilan sosial, hak buruh manusia dan perpaduan antarabangsa, kami bersatu dengan berjuta-juta orang baik (dan) ahli Kongres,” katanya. 

Kesatuan beliau mula-mula mengumumkan sokongannya untuk gencatan senjata pada 8 Nov lalu.

Terdahulu, Biden telah lama menyebut dirinya sebagai ‘presiden paling pro-kesatuan dalam sejarah AS’.

Namun sementara beliau  meraih  sokongan kedua-dua UAW dan APWU ketika pilihan raya presiden tahun 2020, keengganan Biden  untuk menyeru gencatan senjata di Gaza boleh mengasingkan kedua-dua kesatuan sekerja itu daripada menyokongnya  ketika beliau ingin dipilih semula pada pilihan raya presiden  2024.

Presiden Demokrat itu juga enggan mengkritik serangan tentera Israel di Gaza, memetik kata-kata ‘hak Israel  untuk mempertahankan diri’  susulan serangan Hamas terhadap Israel pada  7 Okt laku yang didakwa  menyebabkan 1,200 orang warga Israel terbunuh.

Namun serangan balas Israel ke atas Gaza telah membunuh hampir  kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Seluruh kawasan kejiranan telah diratakan, dengan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang ‘risiko besar pembunuhan beramai-ramai’ di wilayah Palestin.

Krisis kemanusiaan yang meruncing di Gaza telah menimbulkan bantahan yang meluas. Malah Biden telah memberi amaran bahawa ‘pengeboman sembarangan’ boleh menyebabkan Israel kehilangan sokongan awam.

Namun, ramai dalam parti Biden sendiri telah mengkritiknya kerana ‘sokongan yang tidak berbelah bag’ untuk Israel. 

Sehingga Rabu (14 Dis), dianggarkan 62 ahli Kongres AS telah menggesa gencatan senjata, menurut Working Families Party, sebuah kumpulan politik berhaluan kiri.

Tinjauan Reuters/Ipsos yang dikeluarkan bulan lalu juga menunjukkan 68 peratus rakyat ASmenyokong gesaan untuk gencatan senjata di Gaza, dengan jumlah itu lebih tinggi dalam  kalangan Demokrat sahaja.

Ketika perlumbaan presiden 2024 semakin hampir, tinjauan menunjukkan Biden ketinggalan di belakang saingan utamanya dari Parti Republik, pimpinan Donald Trump di negeri-negeri penting seperti Michigan, yang mempunyai masyarakat Arab dan Muslim-Amerika dalam populasi besar.

Tinjauan Bloomberg News/Morning Consult yang dikeluarkan pasa  bulan ini menunjukkan Trump mendahului Biden 46 peratus kepada 42 dalam perlawanan satu lawan satu di negeri itu.  HARAKAHDAILY 15/12/2023

- Advertisement -