
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS berasa cukup ‘takjub’ dengan tindakan ‘bijak’ kerajaan menggugurkan empat perkara yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG) atas alasan yang sangat munasabah.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, RUU GEG adalah sangat penting untuk menjaga kesihatan awam rakyat Malaysia disebabkan merokok yang sehingga kini masih gagal dinoktahkan sejak 10 tahun lalu.
Menurut beliau, empat perkara yang telah digugurkan tersebut adalah berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok.
“Juga larangan merokok terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007, seterusnya telah digugurkan atas sebab yang cukup ‘kukuh’ iaitu kerana bertentangan dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan.
“Ini memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama,” katanya.
Tambah beliau, pada sisi pandang kerajaan Madani merokok dan vape yang merosakkan kesihatan adalah satu ‘hak’ yang wajar dirasai oleh semua rakyat Malaysia.
Nadzir menegaskan, kebebasan untuk merokok sebenarnya tidak termaktub bawah hak Perlembagaan untuk kebebasan asasi kerana Perkara 5(1) jelas memperuntukkan keutamaan mempromosikan apa-apa dalam menjaga nyawa dan kelangsungan hidup.
“Kita sedang berbicara soal nyawa rakyat Malaysia dan masa hadapan sistem kesihatan di sini wahai Menteri.
“Negara telah kerugian besar akibat terlepas daripada meluluskan sebuah akta yang cukup kuat untuk menghapuskan gejala merokok dan vape dalam kalangan rakyat. Kepada YBM Menteri, kami gesa agar letak jawatan atas ‘kejayaan’ besar ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023




















