Apa tekad kerajaan selesaikan isu pencen tentera?

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan tentang tekad kerajaan dalam menyelesaikan isu perlarasan pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara tuntas  telah dibangkitkan di Parlimen pada hari ini.

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, beliau turut merujuk peruntukan bagi perbelanjaan pencen ATM yang telah meningkat dari RM231 juta lebih bagi tahun 2024 berbanding hanya RM75 juta untuk tahun 2023.

- Advertisement -

“Isu penyelarasan pencen bagi anggota tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 bukanlah isu baharu. Bahkan ia  telah berlarutan selama 10 tahun dan sering juga ditimbulkan di Dewan yang mulia ini.

“Tetapi belum dapat suatu gambaran jelas dari kerajaan cara mana isu ini perlu diselesaikan secara tuntas,”ujarnya semasa berucap pada Perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tambah Bakri, pelarasan pencen itu melibatkan 78,546 anggota veteran ATM atau 55.9 peratus dari jumlah keseluruhan ahli Persatuan Veteren Angkatan Tentera (PVATM) yang berjumlah seramai 176,000 orang. 

“Dari jumlah ini seramai 73,339 orang atau 93.4 peratus darinya tergolong di kategori B40 seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi PVATM, Datuk Shahruddin yang dilaporkan dalam portal Berita Harian Online pada 22 Oktober yang lalu. 

“Di mana PVATM melahirkan kekecewaan kepada kerajaan walaupun gesaan telah dibuat tetapi tidak ada gambaran jelas dalam bajet 2024 akan keputusan kerajaan bagi menyelesaikan isu penyelarasan pencen ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, kebanyakan daripada mereka ini ialah bekas anggota ATM yang sangat berjasa kepada negara kerana terlibat mempertahankan kedaulatan negara semasa negara menghadapi ancaman Komunis dahulu.

Menurutnya lagi, merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 132, 137, 139 dan Akta Angkatan Tentera 1972 Seksyen 187 bahawa ‘penggajian dan pencen’ adalah di bawah bidang kuasa Majlis Angkatan Tentera dan bukannya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -