Kedah tunggu mekanisma penetapan kadar tarif air

- Advertisement -

BALING: Kerajaan negeri masih menunggu mekanisma penetapan kadar tarif air oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk menentukan harga baharu di seluruh negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang proses kenaikan kadar tarif harga air akan ditentukan kementerian terbabit.

“Sekarang tarif air setiap negeri tidak sama, Kedah harga lain, Johor, Pulau Pinang dan lain-lain negeri harga lain.

“Kalau tarif air boleh diselaraskan, Alhamdulillah,” kata beliau ketika ditemui wartawan pada Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Kerajaan Tempatan, di Dewan Kenangan Tun Razak, hari ini. (Foto atas)

Sanusi juga berkata, kali terakhir kenaikan tarif air di Kedah pada tahun 2010 sebanyak 10 sen.

Menurutnya 13 tahun Kedah menunggu kajian tarif air, sedangkan kerajaan negeri perlu membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan selama 45 tahun.

“Dahulu setiap tahun RM45 juta tetapi selepas proses migrasi bayaran tahunan berkurangan kepada RM35 juta setahun tetapi tempoh bayaran 45 tahun,” katanya.

“Biar pun berlaku pengurangan RM35 juta setahun, namun kerajaan negeri perlu menyediakan sekurang-kurang RM4 juta setiap bulan untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, hutang berkenaan dibuat kerajaan terdahulu yang tidak dibayar dan perlu dijelaskan kerajaan negeri sekarang.

Menurutnya juga kenaikan tarif air akan memberi sedikit kelegaan kewangan kerajaan negeri untuk membayar semula hutang kepada kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan negeri tidak berhasrat membebankan rakyat sekiranya berlaku penyelarasan tarif air, sebaliknya kenaikan itu dapat digunakan untuk kebajikan lain. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -