
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah melakukan semakan semula rekod melalui sistem VIBES 2.0 dan semakan silang dengan pihak LHDN dan data e-Kasih.
Sehubungan itu, kata kementerian, pihaknya telah mengenal pasti jumlah sebenar Veteran ATM Tidak Berpencen yang berumur 60 tahun ke atas ialah seramai 41,970 orang.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, pihak JHEV ATM telah menyenarai pendek jumlah penerima dengan mengambil kira syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK RM1,169), penerima BSH sedia ada, penerima pencen KWAP dan veteran yang tidak mempunyai maklumat lengkap dalam sistem VIBES 2.0.
“Sehubungan dengan itu, pihak JHEV ATM telah mengenal pasti jumlah penerima yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) iaitu seramai 9,723 orang veteran ATM,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor di Dewan Rakyat, semalam.
Khlir dalam soalannya meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah status perlaksanaan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada pesara tentera tak berpencen yang berumur 60 tahun ke atas seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Beliau juga ingin tahu berapakah bilangan penerima BSH yang layak setakat ini. – HARAKAHDAILY 22/11/2023




















