
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) telah melaksanakan projek pembangunan persekitaran kehidupan bagi menyediakan kawasan persekitaran yang kondusif.
Menurutnya, ini melalui penyediaan kemudahan infrastruktur landskap yang optimum, indah, berfungsi dan efektif di kawasan bandar tempatan atau pekan di seluruh negara.
Katanya, pelaksanaan program itu terdiri daripada dua kategori iaitu pembangunan di kawasan kediaman dan juga pembangunan di kawasan bandar tempatan atau pekan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) serta perlu menepati kriteria pemilihan tapak yang digariskan oleh JLN.
Melalui program itu, ujarnya tapak cadangan sama ada kawasan lapang atau ruang awam akan dibangunkan dengan lebih sistematik untuk menghubungkannya dengan nodes utama seperti sekolah, balai komuniti, tempat beribadat dan kawasan perniagaan menerusi jaringan hijau yang sistematik.
Tambahnya, ia dapat mewujudkan ruang awam dan meningkatkan fungsi kawasan lapang untuk kemudahan rekreasi dalam menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial masyarakat setempat.
KPKT menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, semalam.
Muhammad Fawwaz dalam soalannya ingin tahu perancangan pihak kerajaan untuk melaksanakan Projek Pembangunan Landskap Kehidupan di kawasan luar bandar.
Menurut kementerian itu lagi, sejumlah 19 projek pembangunan persekitaran kehidupan telah siap dibangunkan di kawasan pekan kecil bermula dari tahun 2018 yang merupakan kawasan tumpuan utama masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 22/11/2023











