
JOHOR BAHRU: Johor dianggap bumi kelahiran Umno, namun parti itu seperti terpinggir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana semua kerusi dibolot Pakatan Harapan (PH).
Aktivis PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, langkah PH melalui Amanah bertanding di kedua-dua kerusi dianggap sebagai strategi untuk menguburkan Umno di Johor.
“Pulai ini bumi Umno. Apabila berlaku pilihan raya, kalau kamu tak nak bagi Parlimen Pulai, sekurang-kurangnya bagi DUN Simpang Jeram kepada Umno.
“Sebaliknya PH menggunakan Amanah sebagai strategi untuk melupakan sejarah Umno dilahirkan di Johor.
“Bumi Johor Umno dilahirkan. Orang Johor besarkan Umno tetapi pada PRK kali ini Umno sekadar sebagai penonton,” katanya pada ceramah Ambang Merdeka PN di Taman Desa Rahmat dekat sini, malam tadi.
Turut hadir mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; Yang Dipertua PAS Tenggara, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar; mantan Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin dan calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Che’gu Bard berkata, perkara itu dibiarkan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah parti terbabit tiada lagi maruah.
Oleh itu beliau mengajak ahli dan penyokong Umno di Johor menolak PH bagi mengelakkan sejarah Umno terus terpadam di bumi Johor.
“Kalau anda memangkah PH, bermakna menguburkan Umno bermula di PRK Pulai dan Simpang Jeram.
“Tetapi jika kita memilih PN, semangat solidariti Melayu dan Islam akan terus dipertahankan di Johor,” katanya.
Program ceramah itu berakhir dengan lagu ‘Tanggal 31 Ogos’ yang dinyanyikan beramai-ramai sambil mengibarkan Jalur Gemilang tepat jam 12 tengah malam. – HARAKAHDAILY 31/8/2023




















