Hujan lebat tidak halang rakyat Kedah rai merdeka

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hujan lebat tidak menghalang orang ramai hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kedah, hari ini.

Mereka membanjiri Dataran Medan Bandar seawal jam 7 pagi untuk menyaksikan istiadat perbarisan dan perarakan kontinjen sempena sambutan merdeka.

- Advertisement -

Program yang dijadualkan bermula jam 9 pagi ditunda kira-kira 20 minit berikutan hujan lebat sejak jam 6.30 pagi.

Sambutan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff pada jam 9.20 pagi, diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta pembesar negeri.

Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Sultan Sallehuddin kemudian melakukan istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan utama, sebelum diteruskan dengan persembahan koir dan perbarisan kontinjen.

Pasukan anggota Exco dan Adun Kedah antara 115 kontinjen yang terlibat dengan acara perbarisan.

Selain itu disertai kontinjen jabatan, agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan lebih 3,700 peserta. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -