Menteri Besar laung ‘merdeka’ tujuh kali

- Advertisement -

KUBANG PASU: Sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri Kedah diadakan di pekarangan Taman Tasik Darulaman, malam tadi yang dihadiri ribuan penduduk tempatan.

Program itu bermula jam 10.30 malam dan diisi dengan persembahan kebudayaan, deklamasi sajak, pertunjukan gendang pelbagai kaum, silat dan pelbagai lagi.

- Advertisement -

Manakala anggota pasukan keselamatan menghiburkan orang ramai dengan pelbagai aksi cemas dan mendebarkan.

Kepakaran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menarik perhatian orang ramai.

Penyanyi popular, Ameng Spring turut menghiburkan orang ramai pada sambutan berkenaan.

Sebaik sahaja detik 12 tengah malam, Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali, disusuli dengan lagu patriotik kemerdekaan.

Sebelum itu, Menteri Besar menerima kotak Jalur Gemilang dan menyerahkan kembali kepada anggota PDRM untuk dikibarkan.

Turut hadir pada program gilang gemilang tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan negeri serta pusat.

Program berakhir dengan pertunjukan bunga api yang menghiasi langitdi Dataran Taman Tasik Darulaman. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -