
KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Wan Hasrina Wan Hassan, akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah penduduk kawasan itu jika mendapat mandat pengundi.
Wan Hasrina yang lebih mesra dipanggil Kak Wan menyifatkan penduduk di Pelabuhan Klang hidup dalam keadaan yang aman dan sejahtera.
Namun, katanya terdapat masalah yang masih penduduk hadapi seperti banjir, infrastruktur, kenderaan berat, sampah, longkang dan tiada pencahayaan pada waktu malam.
“Ini masalah yang dihadapi sekian lama oleh penduduk di sini. Insya-Allah, Kak Wan jika diberi mandat oleh rakyat pada 12 Ogos ini, dua hari lagi sebelum pengundian, Kak Wan akan bekerja keras semampu mungkin untuk menyelesaikan masalah penduduk di sini.
“Kita nak selesaikan masalah 100 peratus itu mungkin susah, tetapi paling kurang sebagai wakil rakyat kita mewakili suara rakyat, kita perjuangkan. Kalau boleh 50 peratus pun, boleh selesaikan, itu sudah Alhamdulillah. Usaha yang perlu dilakukan,” katanya kepada HarakahDaily di sini, hari ini.
Beliau merayu pengundi DUN Pelabuhan Klang memberi undi kepadanya sebagai calon nombor satu, N 46 Pelabuhan Klang, bagi meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, kemenangan akan membolehkannya menjadi wakil rakyat untuk memperjuangkan masalah rakyat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi awal yang mengundi kelmarin yang dilihat cukup positif dan yakin pengundi awal berpihak kepada PN.
“Bagi yang akan mengundi secara biasa pada 12 Ogos, buat keputusan yang terbaik, berikanlah undi anda kepada calon N 46 kepada PN.
“Insya-Allah anda sendiri, keluarga anda, anak-anak anda dan seluruh masyarakat di Pelabuhan Klang akan kita buat perubahan besar.
“Kemenangan PN bukan untuk Pelabuhan Klang sahaja, tetapi seluruh Selangor, kita bina Selangor Baharu, Insya-Allah, terima kasih semua,” katanya.
Kawasan DUN Pelabuhan Klang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wan Hasrina mewakili PN; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Ahmad Putra dan calon Pakatan Harapan (PH), Azmizam Zaman Huri. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















