
SEMALAM (Rabu) tumpuan rakyat Malaysia ialah debat antara ‘pakar formula’ Rafizi dan tokoh baru anak muda PAS, Syahir Sulaiman. Semua penonton tahu tajuk debat dan semua penonton tahu realiti ekonomi negara kita kini. Jadi apa tujuan tajuk ini diperdebatkan?
Apakah untuk menafikan realiti kedudukan ekonomi kita kini atau melihat impian ekonomi masa depan? Persoalan ini sewajarnya menjadi fokus dan tumpuan penonton. Atau penonton menjadikan medan debat ini seperti medan laga lembu untuk dilihat siapa lebih gagah dan lebih petah?
Sejujurnya umum tahu bahawa Rafizi seorang pendebat dan kelahiran debat pertandingan. Fokusnya ialah kemenangan. Syahir pula seorang pembentang fakta dan tumpuannya memberi kefahaman. Kerana itu Syahir membawa bukti dan teks fakta untuk dibentangkan kepada penonton sebaliknya Rafizi ‘menjawab’ dengan sindiran sebagai pertandingan membaca. Rafizi berfokus kepada menyerang ‘pendebat’ dan Syahir berfokus membentang tajuk dan intisari debat.
Mungkin ada yang berpendapat Syahir tidak wajar mendepani Rafizi di medan debat. Saya hampir bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi sebaliknya jika tujuan Syahir ialah memperlekeh Rafizi kerana beliau hanya anak muda ‘baru muncul’ dalam PAS, ia satu kebijaksanaan. Mana mungkin Timbalan Presiden yang juga seorang Menteri berdepan ‘budak mentah’ hanya seorang Ahli Parlimen baru dan Penolong Setiausaha PAS.
Keputusan Sanusi menolak cabaran debat adalah bijak kerana kelihatan Rafizi terlalu terdesak mencari tempat lonjakan untuk menyaingi Saifudin REE. Mungkin kerana terlalu obses untuk muncul di arena PRN ini menyebabkan Rafizi ‘terlupa’ atau tak kisah dengan siapa dia berdepan.
Mungkin penyokong Rafizi melompat kegirangan hingga terlondeh kain seperti pak kaduk bersabung ayam. Akhirnya mereka sedar Rafizi hanya mampu menunjuk taji. Dia mempamerkan kemahirannya sebagai pemain bola jaring yang merempuh musuh sedangkan perlawanan tersebut ialah bola sepak.
Mungkin Rafizi terasa mudah menjaringkan gol kerana luasnya pintu gol tidak seperti bola jaring. Namun penonton yang tahu bahawa itu permainan bola sepak hanya tersenyum dengan gelagat Rafizi. Atau Rafizi ada formula sendiri menyatakan ‘yang penting ialah jaringan… bukan apa jenis permainan…’
Senyum… tak perlu kata apa…
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY10/8/2023











