
KAHULUI, HAWAII: Kebakaran hutan akibat tiupan angin taufan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang dan memusnahkan sebahagian besar pulau Maui, semalam, memaksa beribu-ribu orang berpindah ketika beberapa orang berenang di lautan untuk melarikan diri dari asap dan api.
Beberapa kawasan kejiranan hangus apabila bahagian barat pulau itu, termasuk pusat peranginan pelancongan Lahaina, hampir terputus hubungan apabila hanya satu lebuh raya dibuka dengan pegawai memberitahu kemusnahan yang meluas masih terlalu awal untuk dinilai.
“Kami baru sahaja mengalami bencana terburuk yang pernah saya lihat. Kawasan Lahaina hangus,” kata penduduk Lahaina, Mason Jarvi, yang melarikan diri dari bandar itu.
Jarvi menunjukkan gambar yang diambilnya mengenai kemusnahan di sepanjang dermaga Lahaina. Memakai seluar pendek, dia juga menunjukkan kesan melecur di pahanya yang dialami ketika menunggang basikal elektrik untuk menyelamatkan anjingnya.
Ketika anggota bomba bekerja keras unbuk memadamkan tiga kebakaran besar, Maui barat ditutup kepada orang ramai kecuali pekerja kecemasan dan mangsa yang dipindahkan.
Sekurang-kurangnya 4,000 pelancong masih cuba meninggalkan Maui barat, kata Ed Sniffen dari Jabatan Pengangkutan Hawaii. Walaupun sekurang-kurangnya 16 jalan ditutup, lapangan terbang Maui masih beroperasi sepenuhnya dan syarikat penerbangan menurunkan tambang dan menawarkan pengecualian untuk membawa orang ramai keluar dari pulau itu, kata Sniffen.
Penduduk yang panik menyiarkan imej di media sosial yang menunjukkan kepulan asap di pantai dan pokok palma yang dahulunya indah.
“Saya adalah orang terakhir di luar jeti apabila ribut api datang dan membawa segala-galanya bersamanya. Saya berlari keluar dan membantu semua orang yang saya boleh sepanjang perjalanan,” kata Dustin Johnson, yang berada di Pelabuhan Lahaina bekerja untuk sebuah syarikat bot sewa yang menawarkan lawatan selama dua jam.
Beberapa orang terpaksa melompat ke Lautan Pasifik untuk melarikan diri dari asap dan kebakaran, mendorong Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan mereka, menurut kenyataan akhbar Maui County.

Pegawai berkata, mereka juga sedang meneliti laporan saksi bahawa ada orang terperangkap dalam kereta mereka.
“Fokus utama kami sekarang adalah untuk menyelamat nyawa, mencegah penderitaan manusia dan mengurangkan kehilangan harta benda yang besar,” kata Datuk Bandar Maui County, Richard Bissen pada taklimat berita.
Bissen mempunyai sedikit maklumat mengenai kematian, berkata dia baru sahaja dimaklumkan mengenai jumlah itu sebelum taklimat bermula.
“Semuanya cair dengan cepat. Mereka sedang melakukan pencarian dan menyelamat semasa kami bercakap,” kata Mejar Jeneral Pengawal Kebangsaan, Kenneth Hara, menggesa pelancong meninggalkan Maui, sambil menambah mereka boleh mencari perlindungan di pusat konvensyen di Honolulu.
Usaha pemindahan menjadi rumit dengan gangguan bekalan elektrik dan gangguan perkhidmatan telefon bimbit, kerana komunikasi dengan bahagian barat Maui hanya boleh dilakukan melalui satelit, kata Leftenan Gabenor Sylvia Luke.
Rumah Putih pula menzahirkan ucapan takziah Presiden Joe Biden, yang memuji kerja anggota bomba dan mengarahkan semua aset Persekutuan di pulau itu untuk membantu dengan tindak balas.”
Selain Pengawal Kebangsaan Hawaii, Pengawal Pantai AS dan Armada Ketiga Tentera Laut membantu usaha mencari dan menyelamat di Maui, manakala Marin AS. menghantar helikopter dan Jabatan Pengangkutan AS membantu usaha pemindahan, kata Biden. – REUTERS











