Lawan politik dengki reputasi ekonomi Kedah era Sanusi

- Advertisement -

MENTERI Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah membawa satu reputasi hebat dalam masa kurang tiga tahun menerajui pemerintahan. Walaupun belum ada pembangunan fizikal yang berubah drastik, tetapi rakyat begitu merasai ‘sentuhan’ diberikan beliau.

Reformasi dan transformasi digiatkannya sedang didukung serta disokong oleh pelbagai pihak yang menyertai kebangkitan kepada inisiatif, intensif dan intervensi dipacu beliau. Sanusi dilihat bergerak balas dan merangsang setiap impian, matlamat dan masa depan dengan penuh jaminan dan meyakinkan.

Hinggakan rakyat percaya untuk bersandar kepadanya yang dilihat bertindak sebagai pejuang dan pelindung, serta memiliki gagasan jelas ‘The Greater Kedah’. Tadbir urus dipimpinnya bukan sahaja menyelesaikan masalah ‘puaka dan purba’, bahkan menjana semangat dan kekuatan baharu.

Aspek ekonomi antara kejayaan menyerlah dalam pencapaian beliau hingga timbul dengki dari Kerajaan Pusat diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN). Rekod Sanusi menyebabkan segala manifesto, janji dan formula mereka hanya retorik dan hipokrit yang bernilai ‘sampah’.

Tadbir Urus Profesional

Titik punca kepada permulaan pertumbuhan ekonomi dijana Sanusi adalah kerana menerapkan satu budaya kerja unggul dan teladan kepimpinan bersifat negarawan. Dia mengajak menghindari ‘political vendetta’ yakni politik dendam, perseteruan dan pembunuhan karakter.

Beliau bertegas supaya tindakan ‘scrape-off’; mengikis buang segala polisi, pendekatan dan pelaksanaan pentadbiran sebelumnya, diubah dari amalan politik semasa. Bersama gagasan baharunya, beliau turut memulih serta memperkasakan lagi rancangan terdahulu.

Sanusi juga memimpin kerja berpasukan apabila memanfaatkan hasil seminar, bengkel atau makmal pernah diusahakan para pakar serta pegawai tadbir negeri (KCS). Dengan itu, beliau telah menghargai tenaga, masa dan segala yang pernah dicurahkan dan mengembleng sumbangan ke hadapan.

Tadbir urus diketuai Sanusi meletakkan semua sumber atau kepentingan rakyat dan negeri mempunyai nilai yang mesti diambil kira sebagai maruah, hak dan kedaulatan. Inilah integriti terbesar yang menterjemahkan sikap amanah biarpun ada pihak memandang enteng, bahkan memperlekehkan beliau.

RM91 bilion FDI dan DDI

Ketika semua warga bumi masih bergelut dengan pandemik COVID-19, Sanusi pula telah meletakkan Kedah di mata dunia khususnya dalam kalangan pelabur. Pasukan beliau setakat 3 tahun ini telah menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI) lebih RM91 bilion.

Ia memberi suntikan baharu di mana limpahan ekonomi makro ini sedang menjana aktiviti mikro dan hiliran serta meningkatkan kesalinghubungan antara daerah. Paling besar, ia mewujudkan tawaran peluang pekerjaan baharu dan lebih banyak buat anak negeri terutamanya.

Aktiviti dan guna tenaga meliputi pelbagai peringkat, kemahiran dan kepakaran ini akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Sekali gus, lebih banyak pembangunan negeri dapat dimajukan bersama usaha-usaha meninggikan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Inilah penyebab iri hati dari lawan politik Sanusi hingga terbitnya drama ‘claim’ kononnya merekalah yang berusaha menarik pelaburan masuk berkenaan. Malah, membawanya ke Kedah, kononnya menunjukkan murni hati mereka tidak mendiskriminasikan negeri ini.

Jawapan balas terperinci Sanusi terhadap ‘claim‘ mereka boleh dibaca menerusi pautan ini: https://harakahdaily.net/index.php/2023/08/08/claim-anwar-rafizi-dan-fahmi-dijawab-oleh-sanusi/

Kedah Aerotropolis

Bandar raya udara serba moden ini telah dikembangkan dari rancangan asal sejak tahun 2013 iaitu ‘Projek Ikonik’ Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). Pembangunan bandar udara dengan pelbagai sektor ini akan mengendalikan urusan kargo dan sokongan berkaitan pesawat (MRO).

Ia model serupa sepertimana yang telah dibangunkan di Memphis, Amerika Syarikat dan Luxembourg, Belgium serta Henan, China. Kewujudannya disasarkan Sanusi untuk menjadi hab kargo dan MRO di rantau Asia Tenggara; bermakna Kedah Aerotropolis adalah untuk negara Malaysia!

Bagi beliau, peluang ini mesti direbut negara dalam realiti melangkah ke persaingan bersifat global yang semakin pantas dan moden. Kerana persaingan terdekat bagi Malaysia adalah Indonesia yang berhasrat mengadakan pembangunan seumpama di Kuala Namu, Sumatera, Indonesia.

Hasrat Sanusi itu selari dan bersandarkan rancangan serta kajian pernah dibuat mengenai keperluan pembangunan lapangan terbang di Utara Semenanjung. Bengkel strategik mengenainya oleh semua pihak berkepentingan diadakan di Hotel Marriott, Putrajaya pada Oktober 2015.

Malah, ia bukan rancangan ‘angan-angan Mat Jenin’ atau ‘misi mustahil’ Sanusi kerana beliau amat jelas matlamat serta segala cabaran perlu ditempuh bagi merealisasikan. Selain perancangan teliti sebelumnya melibatkan segala keahlian, usaha membangunkan juga melibatkan ramai pakar.

Mengetuai dalam jawatankuasa teknikal tersebut adalah Tan Sri Ir Dr Jamilus Husin yang dikenali sebagai ‘The Airport Man’. Dari aspek kewangan, kerajaan sebelum Sanusi memohon RM2.5 bilion daripada Persekutuan, tetapi ekoran pandemik selepas itu, wujud kekangan kewangan.

Tetapi Sanusi bertemu dan meyakinkan banyak pihak swasta serta kepakaran berpengalaman dalam pengoperasian dan pembangunan seumpama itu. Hasilnya, Kedah Aerotropolis akan dibangunkan secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dengan kos antara RM7-8 bilion.

Perkara penting dari keberanian projek mega ini adalah tekad dan kerangka besar Sanusi untuk membawa perubahan kepada landskap sosial dan ekonomi Kedah. Antaranya ialah memberi impak limpahan ekonomi ke kawasan luar bandar yakni wilayah Tengah dan Timur negeri Kedah.

Malah, pembangunan itu juga direncananya bersama jajaran lebuh raya dan jaringan kereta api baharu dan akan bersambungan dengan yang telah sedia ada. Ia bukan sahaja akan mempengaruhi pembukaan kawasan baharu di sepanjang jajaran itu, tetapi turut mengatasi kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi.

Kedah Aerotropolis bahkan menjadi projek yang menerobos masa depan iaitu menangani stagnan bakal berlaku kepada pembangunan, industri dan perkhidmatan di Pulau Pinang. Termasuk juga kapasiti maksimum akan dicapai Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) tidak lama lagi.

Malangnya, minda pembangunan ekonomi cuba dipacu Sanusi itu juga dicemburui lawan politiknya yang memegang tampuk kuasa Persekutuan dengan mencipta pelbagai halangan. Semua hujah Sanusi membicarakan penafian ke atas hak dan hasrat Kedah itu boleh dilanjutkan dengan bacaan di pautan-pautan dilampirkan. 

- Advertisement -

Pertanian dan sumber semulajadi

Sanusi juga gigih mengangkat martabat Kedah ke satu tahap apabila memperjuangkan tuntutan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan atas pengorbanan dibuat negeri ini. Iaitu mengekalkan statusnya sebagai negeri pertanian, termasuk sumber semulajadi yang menyumbang ke arah itu.

Menurutnya, tanah negeri ini yang cukup strategik seluas 132,000 hektar telah diarah untuk diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Ia bagi tujuan sekuriti makanan negara, sedangkan sektor tersebut memberi pulangan rendah dari segi ekonomi.

“Pasaipa miskin? (Sebab) Cukai tanah untuk sawah padi adalah kategori cukai tanah terendah di dunia. Satu meter persegi 2 kupang (20 sen). (Sedangkan) Cukai tanah untuk tanah komersial 1 meter persegi (kalau di) Alor Setar beringgit-ringgitlah cukai tanah. 

“Daripada keseluruhan keluasan sawah padi yang kita simpan, kita hanya boleh kutip cukai tanah RM2.5 juta saja setahun. Kalau kita ‘convert’ semua tanah ni jadi kawasan komersial, kita akan dapat kutip cukai tanah saja RM1.7 bilion,” jelasnya.

Kedah juga katanya, berkorban membekalkan 43 peratus keperluan beras negara dan pewartaan itu wajar dibayar kerana tidak menukarkan tanah kepada komersial. Kedah sebanyak 10 peratus sahaja iaitu RM170 juta setahun bagi tujuan mengekalkan tanah sawah padi tersebut.

“Kita bina terusan. Kita ada sungai, kita simpan tanah untuk bina empangan. Selain pada empangan kita simpan lagi tanah hutan untuk tadahan air tanah. Hutan saja 341,000 hektar. Empangan pula puluh-puluh kilometer persegi untuk takung ayaq (air). Lalu kut sungai. Mai sawah padi,” ujarnya.

Beliau turut memohon RM100 juta bagi pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air yang mengumpulkan kapasiti sebesar 1,482,340,000 meter padu. Jumlah tersebut bahkan melebihi keperluan Kedah sendiri hingga ia turut dialir bagi keperluan Perlis dan Pulau Pinang.

Aliran terpenting adalah Sungai Muda sepanjang 130 kilometer bersumberkan Empangan Ulu Muda di mana airnya diekstrak Pulau Pinang lebih 1,200 juta liter sehari (MLd). Kedah pula hanya menggunakan 780 MLd dari sungai itu, namun Pulau Pinang hingga kini enggan membayar caj RM50 juta setahun dituntut Kedah.

Pencapaian digeruni

Demikian sebahagian pencapaian di sudut ekonomi di bawah pentadbiran Sanusi dalam di mana terdapat lagu usaha seumpama menerusi Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Negeri. Juga amalan kewangan yang menerima pengiktirafan dari agensi-agensi Persekutuan dari aspek kestabilan, ketelusan dan integriti.

Usaha Sanusi meninggikan hasil pendapatan rakyat dan negeri ini telah melonjakkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Kedah daripada 4.5% sebelum ini kepada 7.5% setahun. Prestasi dicapai dalam tempoh tempoh singkat ini dibimbangi oleh pesaing politik hingga mereka merencana sekatan dan usaha menjatuhkannya.

Kerana Sanusi dilihat sedang memberi satu reputasi dan meninggikan aras pencapaian pemerintahan PAS yang tentunya memberi imej meyakinkan kepada pentadbiran berteraskan Islam.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -