KXP tak dilulus kerana Anwar ada kepentingan politik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh mempercepat dan memudahkan proses kelulusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya dapat mengenepikan kepentingan peribadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau hingga kini tidak pernah berhenti dari melakukan segala usaha untuk merealisasikan projek yang menjadi sebahagian Kedah Aerotropolis itu.

“Kalau ada pihak yang menahan itu ada kepentingan peribadi kena ketepikanlah. Kalau dia kata dia tak ada kepentingan peribadi. Dia kena lepaslah (luluskan) projek itu,” ujarnya di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.

Menurut beliau, Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini menetapkan bahawa kelulusan tersebut perlu menunggu sehingga Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) disiapkan.

“Tapi sebelum NASP dijalankan, dia (Anwar) umum Airport Penang dan Airport Subang. Pasal apa? Pasal apa boleh pi umum sebelum NASP dilaksanakan? Boleh pula? Kan ini sebut dalam Belanjawan (2023) itu? 

“Jadi saya kata ada benda yang tak betul ini. Pasal apa hat itu boleh dikecualikan daripada NASP, kan? Kenapa kita tidak? Masa mesyuarat lepas itu saya kata KXP patut diberi kelulusan interim. Kita buat selarilah kelulusan sementara NASP siap. 

“Kerana butiran-butiran ataupun data-data yang diperlukan untuk NASP sudah kita ada. Kita dah buat benda itu kerana untuk buat kajian kebolehlaksanaan KXP. Kita dah dapatkan data itu dari IATA macam-macam data. 

“Kita dah kita submit juga kepada MOT (Kementerian Pengangkutan) untuk mereka pakai dalam NASP. Kalau Subang dan Penang boleh dikeluarkan daripada NASP kenapa KXP tidak. Apa kepentingan Bayan Lepas dengan Subang? 

“Padahal kita lebih penting lagi sebagai pusat untuk kita eksport barang kita,” pertikai Sanusi yang mengaitkan hal tersebut dengan rekod Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelas beliau, hanya apabila sesuatu eksport itu dilakukan melalui negeri tersebut, baharulah ia dicatatkan ke dalam KDNK negeri itu di mana ia membolehkan kerajaan negeri dibayar peningkatan hasil.

Sebaliknya terang beliau, apabila jumlah hasil tersebut tidak dimasukkan, maka bayaran hasil dari produk dieksport tersebut diberikan kepada negeri lain yang digunakan lapangan terbang atau pelabuhannya.

Bidas Sanusi, semua sikap Anwar terhadap perkara itu adalah kerana wujud kepentingan politik beliau terhadap Pulau Pinang dan Selangor. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -