Menteri Besar, Exco dilantik dengan perkenan Sultan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) hanya boleh dinamakan dengan perkenan oleh Tuanku Sultan selaras bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada orang lain boleh menamakan beliau ke jawatan itu dan beliau juga tidak boleh menamakan Exco kerana ia di bawah kuasa Tuanku Sultan.

Termasuk terang beliau, untuk tarikh pembubaran DUN beliau hanya akan mengumumkannya setelah mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Kerana itu jelasnya, tidak boleh memandai-mandai dan melanggar perkara tersebut kerana ia merupakan proses demokrasi yang sudah termaktub sepanjang pembubaran DUN, pengundian dan pembentukan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan supaya kempen PRN bakal berlangsung nanti tidak menggunakan dana dan agensi kerajaan, sebaliknya setiap parti mesti menggunakan kapasiti kekuatan masing-masing.

“Bertanding secara anak jantan. Jangan jadi cakap lain, buat lain,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Sanusi juga memberitahu bahawa telah mohon pihak Penasihat Undang-undang Negeri menggariskan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang Kerajaan Sementara.

“Dan kita arah semua Exco, pulangkan kenderaan rasmi masing-masing. Kerana kita nak sepanjang mereka berkempen kita tak guna harta kerajaan. Saya harap parti-parti lain guna kaedah yang samalah,” nasihatnya.

Menyentuh mengenai bertanding PRN nanti, amalan dalam PAS beritahunya, hanya diputuskan oleh parti dan bukannya menawarkan diri menjadi calon kerana ianya berkaitan amanah dan beban harus dipikul.

Maklumnya, PAS mempunyai bank calon bagi tujuan tersebut di mana ianya akan dimuktamadkan keputusan pencalonan setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulamak PAS. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -