KXP: MOT mesti berpandu NASP, bukan sikap politik

- Advertisement -

PERTAMA sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) khusus kepada YB Menteri atas kenyataan media yang dikeluarkan semalam 1 Julai 2023 berhubung pendirian MOT terhadap pelan pembangunan projek Kedah Aerotropolis dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Sesungguhnya kenyataan media MOT berkenaan yang berintipati pada laporan kajian semasa National Airports Strategic Plan (NASP) sekali gus telah menjawab kenyataan YB Menteri Pengangkutan sendiri di Parlimen pada 8 Mac 2023 yang mendakwa Kerajaan Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk membangunkan projek lapangan terbang (KXP) mahupun Kedah Aerotropolis.

Sehubungan itu, isu “Kedah tidak pernah memohon untuk membangunkan KXP” sebagaimana yang disebut YB Menteri Pengangkutan sebelum ini adalah tidak relevan dan tidak seharusnya dibangkitkan.

Selain itu, alasan isu keselamatan negara yang dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri dalam kenyataan kepada media dua hari lalu ternyata kurang cermat.

Ini kerana perkara yang dijadikan alasan oleh YAB Perdana Menteri untuk mengelak kelulusan projek itu sudahpun ditangani melalui pelbagai sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity (syarikat milikan penuh Kerajaan Kedah) selaku pemaju projek Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi Kerajaan sejak sembilan tahun dahulu lagi.

Laporan berkaitan isu terbabit juga sudah beberapa kali disediakan dan dibentangkan oleh konsultan yang dilantik oleh KXP AirportCity dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

Jawatankuasa Teknikal pembangunan Kedah Aerotropolis dianggotai oleh beberapa pakar dan diketuai oleh  Tan Sri Ir. Dr. Jamilus Husin, seorang  tokoh yang mengetuai pembinaan Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Beliau  amat  memahami selok belok serta kaedah yang diperlukan dalam mengendalikan projek membina lapangan  terbang. Kepakaran dan pengalaman  luas Tan Sri Ir. Dr. Jamilus menyebabkan beliau diberi  julukan ‘The Airport Man’ oleh mereka yang terbabit dalam industri itu. Tan Sri Ir. Dr. Jamilus juga adalah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah KXP AirportCity.

Justeru, bagaimana mungkin  dengan pembabitan aktif seorang tokoh yang cukup mahir dan berpengalaman dalam projek Kedah Aerotropolis, perkara-perkara asas yang berkaitan dengan keselamatan negara tidak diberikan perhatian sebagaimana yang dijadikan alasan oleh YAB Perdana Menteri.

Masalah sebenar YAB Perdana Menteri ialah beliau enggan memberi ruang untuk mendengar penjelasan daripada pihak Kerajaan Kedah dan KXP AirportCity mengenai perkembangan projek itu setelah tiga pucuk surat diutus untuk memohon pertemuan bersemuka. Dalam masa yang sama, beliau sebaliknya membuat kenyataan  seolah-olah tahu segalanya.

Merujuk kenyataan MOT semalam, laporan penuh kajian NASP hanya  akan disiapkan  pada hujung tahun ini.

Justeru, apa yang disebut dalam kenyataan MOT berkaitan dapatan kajian itu hanya atas sifat  semasa dan bukanlah muktamad. Akan ada perkembangan dari masa ke masa yang boleh mempengaruhi laporan akhir (muktamad) NASP nanti. Ini termasuk data-data terbaru daripada perjanjian kerjasama dimeterai yang akan bertambah  masa ke masa.

Dalam hal ini, ingin saya mengingatkan MOT supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan media dengan memanipulasi kajian diusahakan dengan kos yang begitu besar daripada wang rakyat semata-mata untuk kepentingan politik kepartian.

Projek pembangunan Kedah Aerotropolis yang termasuk dalam komponennya KXP adalah suatu projek yang amat signifkan  dengan keperluan ekonomi rakyat dan negara, diperakui oleh penggiat industri antarabangsa sebagai berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ di rantau ini.

Ini dibuktikan dengan banyak jalinan kerjasama dengan penggiat industri kargo antarabangsa yang telah dimeterai termasuk lima MoU ketika LIMA 2023 di Langkawi baru-baru ini. Ternyata pihak luar lebih berkeyakinan terhadap projek ini berbanding pemimpin Kerajaan Persekutuan sendiri.

Kerajaan Persekutuan khususnya MOT juga seharusnya mengambil cakna akan kesungguhan dan ketegasan peringatan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang telah dua kali menitahkan agar Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan sewajarnya, adil dan saksama untuk menyegerakan kelulusan projek ini demi kepentingan rakyat serta tidak dipengaruhi kepentingan politik.

Asas utama pembinaan KXP ialah memberi tumpuan 100 peratus kepada sektor kargo, bukan penumpang.

Justeru, dapatan konsultan NASP yang digunapakai oleh MOT yang mengetengahkan situasi semasa dan sedia ada di KLIA berhubung 92 peratus melalui ‘belly cargo’ adalah tidak sama dengan situasi yang dirancang untuk Kedah Aerotropolis.

Ini kerana tumpuan utama bagi segmen kargo Kedah Aerotropolis diambil melalui ‘sister airport’ (Henan Province Airport Group) yang akan beroperasi di sini.

MOT tidak sewajarnya membandingkan konsep KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dengan KXP kerana kedua-duanya beroperasi sebagai lapangan terbang penumpang sedangkan KXP adalah 100 peratus kargo yang berteraskan ‘transhipment cargo’ dari Eropah ke China melalui KXP untuk pasaran Asia Pasifik.

Bagi unjuran kargo daripada penggiat industri yang mengendalikan dan terlibat dengan industri, angka yang digunapakai bukan berdasarkan ‘past data’.

Sebagai contoh, MoU yang ditandatangani dengan Henan Province Airport Group dan lima penggiat industri semasa LIMA’23, kesemua itu tidak diambil kira sebagai dapatan dalam laporan kajian NASP yang dikemukakan dalam kenyataan media MOT semalam.

Adalah tidak wajar dapatan data dan unjuran lapangan terbang berasaskan penumpang dijadikan asas justifikasi pembangunan model ‘cargo airport’ yang mendapat input dan unjuran daripada penggiat industri kargo sendiri.

Kerajaan Kedah bagaimanapun yakin jaringan sedia ada sudah memadai untuk fasa pembukaan KXP, dan ini akan ditampung dengan kewujudan lebuh raya baharu (Northern Corridor Highway) yang termasuk bawah projek Northern Corridor Implimentation Authority (NCIA) yang akan melalui Kedah Aerotropolis.

Sekali  lagi saya ingin mengingatkan bahawa seharusnya tidak ada kaitan unjuran kargo berdasarkan konsep perniagaan Kedah Aerortopolis dengan  penggunaan maksimum penumpang PEN. Adalah jelas KXP tidak berkaitan dengan konsep lapangan terbang penumpang.

Berkaitan dengan pembiayaan, tokoh korporat yang namanya disebut oleh YAB Perdana Menteri kononnya tidak berhasrat untuk membiayai projek itu juga sebenarnya tidak terlibat sebagai pemaju KXP atau Kedah Aerotropolis setelah gagal menjawab surat yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Tender KXP AirportCity. Syarikatnya hanya salah satu daripada berpuluh syarikat yang telah mengemukakan proposal dalam RFP yang dilaksanakan. Bagaimanapun buat masa ini, pelabur sebenar tidak boleh didedahkan atas prinsip kerahsiaan syarikat yang dipersetujui bersama pelabur.

Kerajaan Kedah berharap perbincangan lanjut berhubung projek ini dapat diadakan segera bersama YAB Perdana Menteri seiring dengan titah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang mahu momentum pertumbuhan ekonomi Kedah yang sedang berkembang pesat terus dikekalkan.

Saya bagaimanapun ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOT atas sokongan yang diberikan terhadap konsep pembangunan bercampur Kedah Aerotropolis MRO Centre of Excellence (KAAMROCE) dan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing Hub (SLAM).

Sekian. Terima kasih.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah merangkap
Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd
2 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 2/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -