‘Claim’ Anwar, Rafizi dan Fahmi dijawab oleh Sanusi

Sekitar isu pelaburan Infineon dan pembangunan KHTP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan peranan atau kedudukan sebenar antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Menurut beliau, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selaku agensi Kebangsaan berfungsi untuk memasarkan Malaysia ke luar negara, yakni menjadikan negara ini destinasi para pelabur asing.

Katanya, MIDA melakukan pemasaran untuk menarik pelaburan bagi semua negeri dan setelah itu tindakan susulan dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Negeri dengan bertemu dan meyakinkan pelabur.

Kedah secara khusus jelas beliau, memiliki pasukan berkenaan di Invest Kedah Berhad dan Perbadanan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KTPC) serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

Muhammad Sanusi memuji kecekapan pasukan-pasukan tersebut dalam mencari semua pelaburan baharu yang turut menjadi pembekal (vendor) kepada para pelabur utama dan pelabur sedia ada di negeri ini.

Beliau memberi contoh pelaburan baharu adalah seperti Austria Technologie and Systemtechnic AG (AT&S) di mana ia menjadi pembekal komponen-komponen utama kepada Intel Corporation di Kulim.

“Jadi bila Intel ada sana, dia pun hadir ke sini. Sebenarnya, kalau dia orang tengok ‘environment’ AT&S sendiri dia maklum kat saya dia pergi 40 ‘site’ (tapak) lebih kurang, termasuklah di Vietnam yang ‘offer’ (tawar) ‘zero tax’ (tanpa cukai).

“Selama dia (AT&S) operasi sana (Vietnam) tak akan ambil cukai. Dia nak orang dia ada kerja. Tapi dalam 40 lokasi itu dia pilih Kedah. Saya tanya pasaipa hang mai (kenapa anda datang) Kedah? Dia kata pasal hang satu-satu orang yang tak bercakap sebelum masanya. 

“Walaupun dia mai jumpa saya awal, saya tak bercakap, tak umumlah, tak seronok macam ‘PapaNon’ (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) umum itu. Sebab dia kata ‘business’ ni macam politik juga; sehingga tiba waktunya kita tak bercakap, kita tak payahlah cakap.

“Bila dia dah buat itu kerja, direalisasikan, tak apalah siapa nak ‘claim mileage’ (mengaku berkepentingan) pun ‘claim’lah. Saya tak dak masalah apa,” ujar beliau memberi reaksi terhadap isu tersebut.

Perdana Menteri mengaku telah membawa masuk pelaburan Infineon Technologie AG bernilai RM25 bilion ke Kulim hasil rundingan beliau dengan pelabur dari Jerman itu, ketika berucap di Jitra, pada Jumaat lalu.

Anwar mendakwa, pelabur tersebut telah berunding dengan beliau untuk membuat pelaburan besar itu setelah pihak Kedah gagal memuktamadkan rundingan dibuat sejak 13 bulan dahulu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula ketika memberi reaksi perkara sama, secara sinikal menyatakan rasa kesal kerana Anwar membawa masuk pelabur tersebut ke Kedah yang baginya lebih baik ke Negeri Sembilan.

Pembohongan PM dan Menterinya

Sedangkan pada 7 Julai 2022, Sanusi telahpun merasmikan satu unit baharu Infineon di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang turut memaklumkan untuk menambah lagi pelaburan sebanyak RM2.5 bilion.

Malah, permohonan Infineon untuk mendapatkan tanah bagi tapak mendirikan pembangunan kilang tambahannya di belakang kilang sedia ada turut diluluskan pajakan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah.

Sanusi dalam menjawab dakwaan Rafizi pula memberitahu Menteri tersebut bahawa Infineon telah bertapak dan menjalankan operasi kilangnya di KHTP sejak 17 tahun dahulu lagi iaitu dari tahun 2006.

Bahkan dakwaan Rafizi bahawa KHTP dibangunkan dengan pembiayaan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.3 trilion turut disangkal Sanusi yang memberitahu kawasan tersebut adalah hasil perbelanjaan pihak swasta.

Terang Sanusi dari maklumat diberikan KTPC, sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan bagi membangun KHTP, termasuk Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) serta beberapa komponen yang lain. 

“Kita betul-betul pinjam untuk bangunkan KHTP, RM600 juta; RM300 (juta) kita pinjam, RM300 juta (lagi) geran. Jadi sebenarnya Kerajaan Pusat belanja RM300 juta saja. Dia (Rafizi) kata RM1.3 trilion. 

“Pembangunan Fasa 1 sampai sekarang ni dah bangun Fasa 5, semua kita pinjam dan kita bayar. Tak pernah ‘failed’ gagal, sekupang pun kita tak pernah ‘failed’ bayar hutang. Bayar pinjaman itu, kita bayar. 

“Kilang mai buka kilang situ, kita boleh anak-anak kita tumpang kerja. Cukai industri, cukai barangan, cukai eksport, cukai langsung, cukai tak langsung barang-barang, semua Kerajaan Pusat dapat. Kita dapat cukai pintu saja. 

“(Jadi) Kitalah yang berkorban sebenarnya untuk pembangunan negara ini. Mailah segala kilang Jerman, Jepun, Amerika semua mai duk situ. Cukai industri semua Kerajaan Pusat ambil. Kita dapat cukai pintu saja. 

“Tapi kita hutang duit Persekutuan bangunkan tapak itu kena bayar balik, (tapi) depa kata depa yang belanja besar,” ujarnya membidas pembohongan oleh Anwar dan Rafizi itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pula dalam reaksi kepada Sanusi, berkeras mendakwa KHTP di bawah bidang kuasa Pusat dan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah itu jelas satu fitnah serta harus diperbetulkan.

Beliau menyatakan bahawa pelaburan RM25 bilion oleh Infineon itu dibuat oleh MIDA selaku agensi Kerajaan Pusat yang membawa masuk ke KHTP, manakala Kerajaan Negeri hanya dalam urusan membabitkan tanah. – HARAKAHDAILY 8/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -