
BESUT: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Jertih terpaksa menolak banyak permintaan pihak pengurusan masjid bagi menyampaikan kuliah agama kerana mematuhi arahan pihak berkuasa agama.
Dr Riduan Mohd Nor berkata, setiap kali beliau dan rombongan kempen PN singgah solat di masjid, pihak jawatankuasanya meminta disampaikan kuliah ringkas.
“Mereka meminta saya sampaikan kuliah agama, tetapi saya menolaknya kerana mematuhi larangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang tidak membenarkan berbuat demikian ketika berkempen,” katanya.
Beliau ditemui ketika jelajah kempen di Pasar Rabu Alor Lintah, dekat sini semalam. (Foto atas)
Dr Riduan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, beliau merancang mewujudkan Pusat Pendidikan dan Kebajikan sekiranya dipilih pengundi Sabtu ini.
Kata beliau usaha itu tidak sukar memandangkan sekarang sudah ada Medan Ilmu di Bandar Jertih yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
“Program pendidikan amat penting sebagai usaha untuk membendung gejala sosial khususnya dalam kalangan remaja di daerah Besut.
“Cara nak tangani masalah sosial dalam kalangan belia perlu digerak dengan jihad dalam bidang pendidikan.
“Kita juga akan perkasakan institusi masjid, mengadakan program talk show, forum, motivasi pelajar, bengkel, menjawab peperiksaan dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah Besut berkata, usaha untuk menghindarkan anak-anak muda terjebak dengan gejala tidak sihat perlu digembling dengan serius melalui pelbagai program.
Selain itu katanya, memperluaskan program kebajikan antaranya Skim Qardrul Hassan iaitu pinjaman wang tanpa faedah kepada anak muda untuk membeli motosikal sebanyak RM4,000.
“Program yang dilaksanakan kerajaan Terengganu akan dipertingkatkan lagi dengan agenda kebajikan yang lain seperti sumbangan beras percuma kepada keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















