
KOTA BHARU: PAS bukan sahaja menumpu kepada agenda politik dan dakwah, sebaliknya parti itu menjuarai sektor pendidikan Islam di negara ini.
PAS memiliki ribuan institusi pendidikan berteras agama yang bermula kelas prapersekolahan iaitu PASTI, Sekolah Rendah Teras Integrasi Islam (SRITI), Sekolah Menengah Teras Integrasi Islam (SMITI) dan Kolej Universiti Zulkifli Muhamad.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pemimpin PAS juga memiliki banyak pusat pengajian tahfiz dan institusi pondok yang memberi sumbangan besar kepada bidang pendidikan Islam di Malaysia.
Sedangkan katanya parti lain tidak miliki institusi pendidikan yang begitu besar seperti PAS.
“Ketika saya berada dalam Umno dahulu, Umno hanya dikaitkan dengan Tadika KEMAS sahaja, itu pun di bawah kendalian kerajaan,” katanya pada ceramah ketika membantu kempen calon PN DUN Bunut Payong di sini.
Kata beliau sumbangan besar PAS itu masih lagi tidak dihargai kerajaan Pusat yang diterajui PH-BN sehingga menjadikan negeri ditadbir PAS sasaran mereka.
Menurutnya kerajaan Kelantan sering mangsa serangan dan kritikan liar pemimpin PN dan BN, sedangkan sumbangan PAS kepada sektor pendidikan Islam begitu besar.
Sementara itu, calon PN DUN Bunut Payung, Shaari Mat Yaman turut berkata,
beliau akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dengan memastikan kebajikan penduduk miskin terus terjaga. (Foto atas)
“Insya-Allah saya akan meneruskan usaha yang dilakukan mantan ADUN Dato’ Dr Ramli Mamat sebelum ini yang banyak berjasa kepada rakyat di DUN Bunut Payong,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023











