Terengganu bina 1,640 unit ‘rumah patuh syariah’

Foto hiasan.
- Advertisement -

SEBANYAK lebih 12,000 kes jenayah termasuk seksual yang melibatkan kanak-kanak dan wanita di negara ini telah direkodkan pada tahun lalu.

- Advertisement -

Jumlah ini telah meningkat dari tahun 2020 yang mana lebih kurang 11,000 kes direkodkan.

Dalam pecahan kes-kes ini, selain kes rogol, antara kes yang perlu diketengahkan adalah kes sumbang mahram yang dilaporkan juga meningkat iaitu daripada 259 kes kepada 264 kes.

Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kes-kes sumbang mahram ini adalah kepincangan keluarga, media sosial, penggunaan gajet tanpa kawalan dan kurang privasi dalam kehidupan di rumah.

Kita semua tahu, Islam menetapkan wajib pisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mereka mencapai umur 10 tahun. Ini dapat menjaga privasi anak-anak terutama anak perempuan.

Oleh itu, pengasingan bilik tidur anak lelaki dan perempuan disenaraikan antara 5 teras Rumah Darul Iman (RAHMAN) atau dikenali juga sebagai Rumah Patuh Syariah telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030).

Rumah RAHMAN ini dikenali sebagai Rumah Patuh Syariah kerana memiliki identiti dan ciri-ciri tersendiri yang patuh syariah. 5 teras patuh syariah termasuklah:

1. Rumah sebagai tempat memuliakan tetamu

2. Reka bentuk rumah yang melindungi aurat dan menjaga kehormatan penghuni

3. Tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan diasingkan

4. Reka bentuk bilik air yang sesuai untuk bersuci dan berwuduk

5. Rumah sebagai tempat ketenangan, keselesaan dan istirehat

Terdapat penerangan yang lebih panjang dan mendalam terhadap kelima-lima teras ini yang tidak mampu diceritakan di sini.

Walau bagaimanapun, sepanjang lima tahun yang lalu, 10 projek Rumah Mampu Milik (RMM) telah pun dilaksanakan melibatkan 1,640 unit di seluruh daerah di Terengganu. Antara Rumah Patuh Syariah yang telah siap dinina adalah RMM Mukim Tempinis Kerandang yang menjadi projek perintis rumah berciri mesra syariah pertama di Terengganu.

100 buah RMM di Mukim Tempinis adalah contoh terbaik yang membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).

Segala info yang lebih lanjut tentang projek-projek perumahan ini termasuk penerangan lebih mendalam tentang ciri-ciri ‘Rumah Patuh Syariah’ ini boleh didapati di laman web rasmi PITAS2030 dan SUK Terengganu (Bahagian Perumahan).

Website PITAS2030 : https://pitas2030.terengganu.gov.my – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -