
KOTA BHARU: Gelombang ahli Umno meninggalkan parti itu memberi peluang lebih kukuh PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata,
kebanyakan mereka keluar Umno dan menyertai PN kerana kecewa dengan kepimpinan parti terbabit.
Katanya, PN menjangkakan 30 peratus mereka yang keluar dari Umno akan menyokong PN pada hari menugundi Sabtu ini.
“Diharap dengan perkembangan yang berlaku itu membolehkan PN mencapai kemenangan agak luar biasa.
“Sekiranya kita mendapat 10 peratus pun sudah memadai untuk kita capai kemenangan di kesemua 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN Kelantan hari ini.
Difahamkan lebih 200 ahli dan penyokong di DUN Salor akan mengumumkan keluar daripada parti itu esok.
Wan Roslan juga berkata, PH-BN ketandusan isu apabila membangkitkan calon Menteri Besar (MB) Kelantan, sedangkan pilihan raya belum lagi berlangsung.
Menurutnya tindakan mereka menunjukkan PH-BN seperti mengaku kalah awal sehingga terpaksa membangkitkan isu calon MB PN.
“Mereka memainkan isu berkenaan sedangkan kita sendiri pun tidak bincang perkara tersebut.
“Keadaan itu jelas menunjukkan pihak lawan ketandusan idea seperti terpaksa mengaku kalah lebih awal sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















