
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan ucapannya berbaur sogokan kepada pengundi.
Ketua DPPNT, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, sangat jelas ucapan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika mengumumkan sejumlah peruntukan kepada belia mengandungi unsur rasuah.
“Beliau menyebut ‘asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH) yang ada di Negeri Terengganu’, ini merupakan satu kenyataan yang ada unsur untuk menyogok pengundi, disebabkan itu kami membuat laporan SPRM.
“Walaupun sudah ada kenyataan daripada SPRM yang mengatakan ia bukan rasuah, sebaliknya inisiatif kerajaan, kami merasakan ia masih perlu disiasat bersandarkan ayat Gelombang Biru dan Gelombang Merah, ditambah lagi dengan kenyataan sogokan tambahan jika PH-BN dipilih pada 12 Ogos nanti.
“Kami tiada bantahan tentang bantuan, tetapi agak pelik kerana ia diberi menjelang pilihan raya dan setelah pembubaran DUN, kami kecewa bantuan yang diberi kerajaan Terengganu pada pilihan raya lepas difitnah sebagai rasuah padahal ia telah diumum dalam belanjawan berbeza dengan apa yang sedang berlaku hari ini,” katanya selepas membuat laporan di pejabat SPRM negeri di sini, hari ini.
Ketika ditanya adakah kerajaan hanya ‘sembang kosong’ untuk melawan rasuah kerana tindakan yang dilakukan berbeza dengan apa yang diumumkan, beliau berkata, rakyat boleh menilai dan melihat tindak tanduk kerajaan.
“Sembang kosong atau seumpamanya dinilai oleh rakyat, cuma saya datang hari ini untuk membenarkan kenyataan itu, kalau betul ada unsur rasuah, tangkap dan adili.
“Kami pihak DPPNT dan anak muda menyokong penuh supaya unsur-unsur tidak berlaku dan jangan hambur fitnah yang tiada asas untuk memburukkan pihak lawan tetapi kawan sendiri dibekukan siasatan,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Zahid Hamidi Ketika berucap pada satu majlis mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pemberian geran tersebut bukanlah satu bentuk rasuah sebaliknya agensi berkenaan melihat pemberian itu dari kementerian di peringkat Persekutuan. – HARAKAHDAILY 30/7/2023




















